
KUALA LUMPUR: Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad (Tun M), mengkritik pentadbiran Perdana Menteri ke-10 (PMX) atas pengenalan aturan-aturan di luar undang-undang atau ‘extra judicial’, yang menurutnya bertentangan dengan Perlembagaan dan prinsip demokrasi negara.
Dalam satu kenyataan yang dimuat naik di media sosialnya hari ini, Tun Mahathir menyatakan bahawa sejak Malaysia mencapai kemerdekaan 68 tahun lalu, Perlembagaan dan undang-undang negara telah memadai untuk memastikan kestabilan dan kemajuan.
Meskipun negara pernah menghadapi cabaran seperti rusuhan kaum dan ekstremisme agama, beliau menegaskan bahawa semua isu tersebut berjaya diselesaikan mengikut undang-undang.
“Tidak ada keperluan untuk memperkenalkan aturan-aturan di luar undang-undang bagi kestabilan dan kemajuan negara,” ujar Tun Mahathir.
Beliau turut mengkritik penggunaan isu 3R (agama, bangsa, raja) yang dikatakan digunakan untuk menutup mulut rakyat di bawah pentadbiran semasa.
Tun Mahathir menegaskan bahawa penggunaan 3R untuk mengawal ucapan dan pandangan rakyat bertentangan dengan prinsip kebebasan bersuara dalam sistem demokrasi.
“Tetapi wakil rakyat terus bebas dalam dewan. 3R tidak boleh tutup mulut mereka.
“Oleh itu, sekarang ditambah secara extra judicial aturan-peraturan (MOU) yang kononnya bertujuan menstabilkan Negara. Dengan itu wakil rakyat juga tidak dapat sentuh 3R dalam dewan,” jelas beliau.
Tun Mahathir juga menyifatkan syarat menandatangani MOU untuk mendapatkan peruntukan bagi kawasan sebagai satu bentuk rasuah.
Beliau menegaskan bahawa dana kerajaan adalah milik rakyat, bukan milik parti pemerintah, dan seharusnya diperuntukkan secara sama rata tanpa syarat kepada semua wakil rakyat, termasuk dari parti pembangkang.
“Kerajaan dahulu bagi RM 400 juta kepada Kelantan, RM 200 juta kepada Terengganu dan Kedah tanpa syarat walaupun negeri-negeri ini adalah negeri parti bukan Kerajaan Pusat.
“Jikalau ucapan berbau hasutan, perkauman atau kebencian, yang patut tafsir dan bertindak ialah rakyat, bukan Kerajaan.
“Rakyat boleh tolak orang yang membenci atau racist dalam pilihan raya.
“Itu hak rakyat,” hujahnya.
Tun Mahathir juga menegaskan bahawa 3R dan MoU sebenarnya bertujuan untuk menyekat kebebasan bersuara rakyat dan wakil mereka, sekali gus memberi ruang kepada kerajaan untuk bertindak secara sewenang-wenangnya.
“Rakyat perly menolak 3R dan MoU, serta mempertahankan Perlembagaan dan prinsip ‘Rule of Law’ demi memastikan negara kekal adil dan demokratik,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/9/2024




















