
KUALA LUMPUR: Pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri terutamanya ahli Umno diyakini mempertahankan Nenggiri dengan mengundi bulan, PAS ataupun PERIKATAN NASIONAL (PN) menjelang 17 Ogos ini.
Yang Dipertua PAS Kawasan Subang, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, ini berikutan kenyataan berterus terang bekas Presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad (Tun M) mengenai Umno dan Presidennya, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Tun M dilaporkan berkata bahawa ‘Zahid tidak perlu mendabik dada sebagai hero yang menjatuh saya dan menyelamat Umno. Zahid bukan hero. Dia hanya seorang yang menghadapi tuduhan dalam mahkamah dan sanggup bekerjasama dengan musuh ketat Umno, iaitu DAP, supaya jadi Timbalan Perdana Menteri demi menyelamatkan dirinya daripada dibicara berkenaan kesalahannya’.
Tun M memberikan respons tersebut dipercayai bagi menjawab dakwaan Zahid Hamidi baru-baru ini yang mendakwa dirinyalah yang bertindak menyelamatkan Umno dari diharamkan ketika Tun M naik sebagai Perdana Menteri kali kedua selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 walaupun hari ini Zahid pula telah membawa Umno menyokong PH yang didominasi DAP.
Roslan berkata, ketika berkempen bersama kawan-kawan daripada rumah ke rumah di Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu, masih ada ahli-ahli Umno khasnya veteran yang mempamerkan wajah Tun di dinding atau almari di rumah masing-masing.
“Saya percaya ini juga berlaku seluruh negara termasuk mungkin di Nenggiri. Ahli-ahli Umno masih kenang jasa besar Tun walau beliau tidak lagi Umno hari ini.
“Justeru, saya yakin kenyataan Tun ini masih diikuti ahli-ahli Umno khasnya veteran yang pernah merasai nikmat semasa Tun (sebagai) Perdana Menteri dahulu.
“Tun M (sebagai) Presiden Umno ketika Umno di saat kegemilangannya, manakala Zahid di saat Umno paling teruk prestasinya dalam sejarah.
“Zahid mungkin Presiden tetapi adakah beliau menerima sokongan dan kepercayaan sebagaimana Tun ketika Tun ketuai Umno dulu,” soal Roslan.
Menurutnya, ahli-ahli Umno mempunyai kecerdikan dan kematangan berpolitik berikutan apabila merekalah yang telah bangkit dan melakukan perubahan apabila mula mengesan Umno mulai menampakkan kegagalan.
Katanya, undi ahli-ahli Umnolah contohnya yang telah menyumbang ke arah kemenangan PN-PAS di Parlimen Gua Musang dan DUN Nenggiri dalam PRU dan Pilihan Raya Negeri (PRN) ke 15 terdahulu.
“Bukannya mereka tidak sayang dan kenang jasa Umno tetapi apabila kepincangan berlaku depan mata mereka tidak sanggup bersekongkol lantas telah menyokong pihak lain.
“Di PRK Sungai Bakap contohnya jentera Umno dakwa punya 5,000 ahli tegar di sana, tetapi apabila mengundi ke mana perginya undi mereka hingga calon PN-PAS boleh menang lipat kali ganda?
“Kesimpulannya dengan kenyataan terus terang Tun ini adalah diyakini pengundi khasnya ahli-ahli Umno di DUN Nenggiri insya-Allah 17 Ogos ini akan pertahankan Nenggiri dengan mengundi bulan,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/8/2024




















