Sentiasa terbuka mendengar kritikan yang membina

Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli (tengah) dalam aktiviti menziarahi penduduk DUN Rantau Abang.
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli sentiasa terbuka untuk mendengar pandangan, cadangan dan kritikan yang membina.

- Advertisement -

Ini, ujarnya kerana beliau sedar bahawa sepanjang tempoh perkhidmatan sebelum ini, mungkin terdapat kekurangan dan kelemahan yang berlaku.

Beliau menyatakan perkara itu menerusi kenyataan di laman Facebooknya sempena genap setahun Pilihan Raya Negeri ke-15, semalam.

“Pertama sekali, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh rakyat Terengganu, khususnya penduduk DUN Rantau Abang, atas sokongan padu yang diberikan kepada PAS sehingga kita sekali lagi diberi mandat untuk menerajui kerajaan Terengganu bagi penggal yang kedua.

“Kepercayaan yang tuan-tuan dan puan-puan berikan kepada kami bukanlah sesuatu yang kami pandang ringan, sebaliknya ia adalah amanah yang amat besar yang akan kami galas dengan sebaik mungkin,” ujarnya.

Tidak dilupakan juga, katanya ucapan terima kasih kepada semua pengundi di DUN Rantau Abang yang telah memilih beliau untuk mewakili suara rakyat DUN itu pada penggal ini.

“Namun, saya juga sedar bahawa sepanjang tempoh perkhidmatan saya sebelum ini, mungkin terdapat kekurangan dan kelemahan yang berlaku,” katanya yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri.

Justeru, beliau dengan rendah hati memohon maaf atas segala kekurangan tersebut dan berjanji akan berusaha sebaik mungkin untuk menambah baik perkhidmatan demi kesejahteraan dan keselesaan rakyat DUN Rantau Abang.

“Kepada semua rakyat, saya ingin menegaskan bahawa pintu saya sentiasa terbuka untuk mendengar pandangan, cadangan, dan juga kritikan yang membina.

“Kita semua adalah sebahagian daripada satu keluarga besar, dan hanya dengan kerjasama serta sokongan daripada semua pihak, kita dapat membawa DUN Rantau Abang dan negeri Terengganu ke arah yang lebih baik, insya-Allah,” ujarnya.

“Saya berdoa semoga Allah SWT memberikan kita kekuatan dan petunjuk untuk terus memperjuangkan kesejahteraan rakyat, demi masa depan yang lebih gemilang untuk kita semua,” ujarnya yang juga Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS negeri. – HARAKAHDAILY 13/8/2024

- Advertisement -