
KUALA LUMPUR: Tindakan pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail membenarkan penarikan balik pengharaman buku komik ‘Inisiatif Jalur Dan Jalan Meraih Manfaat Bersama’ telah menimbulkan persoalan.
Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Hanif Jamaluddin berkata, surat sebaran umum penarikan balik pengharaman karya buku komik tersebut yang dihasilkan bekas ahli DAP Hew Kuan Yau atau lebih dikenali sebagai ‘Superman Hew’ tersebut dikatakan telah dikeluarkan pada 12 Ogos oleh KDN.
“Apa sudah jadi dengan Malaysia Madani? Di mana suara akar umbi Umno yang cinta dan sayangkan perjuangan parti,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial miliknya, hari ini.
Sementara itu, Yang Dipertua PAS Kawasan Subang, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, dahulunya Umno bersungguh memprotes dan menuntut pengharaman komik tersebut oleh KDN.
Menurut Roslan, malah Umno melalui Naib Presiden Umno ketika itu, Datuk Seri Mahdzir Khalid membawa usul ke Parlimen bagi mengharamkan komik tersebut, tetapi malangnya ditolak Speaker kerajaan Pakatan Harapan (PH) ketika itu.
“Komik ini bukan sahaja kontroversial sebab ia mempromosi perjuangan komunisme malah bekas Presiden Umno, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak dan isteri turut dipersenda dan diperlekeh dalamnya.
“Hari ini pihak KDN menarik balik pengharaman komik ini dan ia sudah boleh diedarkan.
“Umno bagaimana? Bersuaralah sahabat atau benar DAP yang paling bertaring dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) hari ini,” ujar Roslan dalam media sosial miliknya hari ini.
Terdahulu dilaporkan pada Oktober 2019 kecoh apabila buku komik tersebut dikatakan telah tersebar di sekolah-sekolah.
Pada 17 Oktober 2019 pula turut dilaporkan bahawa, pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah membuat kenyataan media menafikan telah mengeluarkan kebenaran dan kelulusan untuk pengedaran buku ini.
Akhirnya, 23 Oktober 2019 pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mewartakan Perintah Larangan terhadap penerbitan komik ini.
“KDN menyebut perintah larangan tersebut atas sebab; pertamanya, terdapat kandungan yang mungkin memudaratkan ketenteraman awam dan keselamatan serta mungkin menggemparkan fikiran orang ramai.
“Keduanya, komik ini cuba mempromosikan ideologi komunisme dan sosialisme, menyebarkan fakta yang salah dan mengelirukan mengenai Komunis serta mengandungi unsur untuk membangkitkan sokongan dan simpati terhadap perjuangan Komunis.
“Ketiganya, komik ini juga boleh menimbulkan keraguan kepada pembaca khususnya generasi muda mengenai sejarah Malaysia, seterusnya mempertikaikan usaha serta perjuangan tokoh atau pemimpin negara terdahulu dalam memperjuangkan kemerdekaan dan membangunkan negara.
“Keempat, komik ini secara jelas mempersenda bekas Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak,” ujar laporan kenyataan KDN tersebut. – HARAKAHDAILY 13/8/2024




















