
KUALA LUMPUR: Sikap Barisan Nasional (BN) kini bukan sahaja membosankan MIC, tetapi turut membosankan pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri yang akan mengundi pada 17 Ogos akan datang.
Yang Dipertua PAS Kawasan Subang, Roslan Shahir Mohd Shahir, berkata ini berikutan kenyataan Presiden MIC, S.A Vickneswaran di hadapan lebih 400 perwakilan daripada MIC Pulau Pinang, baru-baru ini.
Presiden MIC itu dalam laporan akhbar tempatan tersebut berkata, ‘mula-mula kita dijadikan sebagai anak yatim dan sekarang kita boleh memanggil diri kita sebagai pelarian’.
Sehubungan itu Roslan berkata, “Siapakah yang menjadikan MIC sebagai anak yatim dan kini pelarian itu?”
“Adalah difahamkan kenyataan Presiden MIC itu merujuk pada sikap Pengerusi Barisan Nasional (BN) yang juga Presiden Umno, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang didapati telah mengambil keputusan penting bagi pihak BN tanpa merujuk dengan komponennya.
“BN terdiri dari selain Umno dan MIC juga MCA dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS). BN yang dulunya ditubuhkan Allahyarham Tun Abdul Razak Dato’ Hussein dari berbelas parti komponen hari ini di bawah Zahid cuma tinggal 4. Mereka punya 30 kerusi Parlimen iaitu Umno 26, MCA 2 dan MIC serta PBRS masing-masing 1,” kata Roslan dalam media sosial miliknya.
Menurut beliau, ketidakpuasan hati parti-parti komponen BN terhadap Pengerusinya sejak Zahid memegang jawatan itu bukanlah rahsia lagi dan tidak mustahil BN itu sendiri boleh roboh dan menyebabkan tinggallah Umno terkontang-kanting berteduh bawah bayang simpati Pakatan Harapan yang didominasi DAP sekiranya perkara itu berlarutan.
“Dalam kesibukan Zahid berhempas-pulas mahu tebus kerusi DUN Nenggiri, rumahtangganya sendiri berkecamuk dan mula retak.
“Jika gagal di Nenggiri tidak mustahil saki-baki parti-parti komponen BN akan angkat kaki sekaligus menjadikan Zahid Pengerusi BN yang paling gagal,” jelasnya.
Tambahnya, MIC dan MCA itu merupakan rakan kongsi politik Umno sejak Merdeka lagi, namun kini Umno bawah pimpinan Zahid sudah lemah lalu ia terpaksa bertongkat pula kepada PH dan DAP untuk terus hidup tanpa melihat sebarang keperluan untuk menjaga hati kawan-kawan lama.
“Masih adakah BN lagi lepas Nenggiri? Cuma rakyat pengundi Nenggiri yang berhak tentukan,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/8/2024




















