Penaga kian pesat, tapi infrastruktur tak dinaik taraf

- Advertisement -

PULAU PINANG: Ustaz Mohd Yusni Mat Piah (PN-Penaga) mengutarakan isu berhubung keperluan mendesak menaik taraf infrastruktur keselamatan, jalan raya dan kemudahan awam di kawasan Penaga yang semakin pesat membangun.

- Advertisement -

Dalam isu keselamatan, beliau menegaskan bahawa Pondok Polis Penaga kini hanya berfungsi sebagai pusat pengoperasian asas dan sudah tidak lagi memadai untuk menampung keperluan keselamatan penduduk.

“Pertambahan kawasan perumahan baharu, pembukaan taman-taman perumahan dan peningkatan aktiviti ekonomi setempat telah menyebabkan kepadatan penduduk meningkat secara signifikan.

“Dengan pertumbuhan ini, keperluan terhadap perkhidmatan keselamatan yang lebih cekap dan responsif menjadi semakin mendesak,” katanya.

Namun, sehingga kini pondok polis tersebut tidak mempunyai kelengkapan setara dengan sebuah balai polis penuh, sekali gus mengehadkan keupayaan anggota menjalankan rondaan, penyiasatan dan respons kecemasan.

Beliau mencadangkan agar ia dinaik taraf kepada balai polis lengkap, termasuk penambahan anggota, kenderaan peronda, ruang aduan masyarakat dan kemudahan penyimpanan rekod.

“Keselamatan adalah prasyarat pembangunan. Memandangkan Penaga sedang pesat membangun, sudah tiba masanya kerajaan mempertimbangkan naik taraf ini demi kesejahteraan rakyat,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam sesi perbahasan Bajet 2026 Negeri Pulau Pinang di Dewan Undangan Negeri baru-baru ini.

Dalam isu infrastruktur, Mohd Yusni membangkitkan masalah kepadatan trafik di jalan utama Pekan Penaga yang semakin meruncing akibat pertambahan kenderaan.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan pelebaran jalan dan penyediaan laluan alternatif untuk melancarkan aliran trafik.

Beliau turut menegaskan bahaya longkang besar tanpa penutup di kiri dan kanan Jalan Penaga–Bakar Kapor, yang menurutnya sering menyebabkan kemalangan maut dan kecederaan, terutama kepada penunggang motosikal.

“Keadaan ini jelas membahayakan keselamatan awam dan memerlukan tindakan segera daripada pihak berkuasa.

“Laluan bawah Pekan Penaga yang menjadi akses utama keluar masuk dari kawasan perumahan juga semakin sibuk dan memerlukan penambahbaikan demi keselamatan pengguna,” ujarnya.

Beliau turut menyuarakan isu jalan berlubang dan rosak teruk di Kampung Permatang Tiga Ringgit dan Kampung Padang Tembusu, memohon agar kerja penurapan semula dan pembaikan disegerakan bagi keselamatan penduduk, khususnya pada waktu malam dan ketika hujan.

Mohd Yusni turut mengangkat isu jalan-jalan ladang utama di Kampung Guar Kepah, Kampung Guar Tuan Syed dan Kampung Lahar Kepar.

“Jalan-jalan ini menjadi laluan penting bagi aktiviti pertanian dan perladangan, namun keadaannya yang sempit, rosak dan tidak diselenggara menjejaskan keselamatan serta melambatkan urusan harian penduduk,” katanya.

Beliau memohon pembaikan menyeluruh, turapan semula dan penyelenggaraan berkala.

“Infra asas seperti jalan yang baik adalah keperluan asas rakyat. Saya berharap isu-isu ini diberi perhatian sewajarnya agar kesejahteraan penduduk di DUN Penaga terus terjamin,” tambahnya.

Dalam pada itu, Mohd Yusni turut menekankan isu padang bola Kampung Pasir Gebu yang menjadi tumpuan pemuda namun berada dalam keadaan tidak memuaskan.

Jelasnya lagi, permukaan padang yang tidak rata berisiko mencederakan pemain, manakala ketiadaan pagar keselamatan menyebabkan bola sering melantun ke jalan raya.

“Ini membahayakan anak-anak yang bermain dan juga pengguna jalan raya,” katanya.

Beliau memaklumkan bahawa pada tahun lepas beliau telah menyediakan penghadang bola melalui peruntukan kerajaan negeri, namun kemudahan itu masih tidak mencukupi.

“Pemuda kampung pula terpaksa memasang jala pukat sebagai pagar sementara, tindakan yang menunjukkan keprihatinan mereka tetapi bukan penyelesaian jangka panjang,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/11/2025

- Advertisement -