
ALOR SETAR: Langkah Kerajaan Negeri Kedah mengumpul, meneliti dan mengesahkan dokumen sejarah berkaitan pajakan Pulau Pinang disifatkan sebagai tindakan yang tepat bagi mengukuhkan asas perundangan sebelum kes tersebut dibawa ke mahkamah.
Penasihat Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, isu pajakan itu perlu berpaksikan rekod sejarah yang sahih, termasuk perjanjian antara British, Siam, kerajaan-kerajaan Melayu serta triti antarabangsa yang kini tersimpan di arkib luar negara.
Menurut beliau, apa yang dibangkitkan Kedah bukanlah tuntutan kedaulatan, tetapi tuntutan hak pajakan yang memerlukan penelitian semula berdasarkan dokumen dan perjanjian lampau.
“Ia berkenaan dengan hak pajakan. Jadi kena lihat sejarah, perjanjian-perjanjian serta dokumen-dokumen yang ada. Kena lihat apakah kesan dokumen-dokumen tersebut.
“(Juga) Perlu ada kajian terhadap dokumen-dokumen lama itu, sama ada di National Archive di London, Congress Library di Amerika Syarikat atau di India. Tidak ada masalah jika dokumen itu berusia ratusan tahun kerana ia tetap penting untuk menentukan kesahihan dan kesan perjanjian,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa semua triti antara Siam dan British, Tanah Melayu dan kesultanan Melayu juga perlu disemak bagi menilai kemampuan Kedah membuat tuntutan pindaan pajakan.
Tambah Zainul Rijal yang juga Pengerusi Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), dokumen lengkap merupakan keperluan utama sebelum proses perundangan dimulakan.
“Mahkamah merupakan final arbiter dalam menentukan sama ada Kedah berhak atau tidak berhak terhadap tuntutan itu. Proses tersebut mestilah disokong dokumen lengkap yang dikemukakan sebagai bukti.
“Semua dokumen berkenaan perlu dikemukakan ke mahkamah agar mahkamah dapat membuat pertimbangan sewajarnya,” jelasnya.
Mengenai peluang Kedah, beliau berkata, ia hanya boleh dinilai selepas keseluruhan dokumen sejarah selesai dianalisis oleh pihak berautoriti.
Dalam soal nilai pajakan baharu, beliau tidak mengemukakan sebarang anggaran, sebaliknya menegaskan ia mesti ditentukan melalui penilaian semasa oleh pihak yang kompeten.
Sebagai rekod, sejak pajakan Pulau Pinang bermula pada 1786, Kedah menerima RM10,000 setahun, sebelum Kerajaan Persekutuan memberikan tambahan pemberian khas RM10 juta setahun bermula 2018.
Pada 2021, Kedah menuntut bayaran pajakan sebanyak RM100 juta setahun, memandangkan nilai tersebut tidak pernah dinilai semula sejak lebih dua abad.
Pada 10 November lalu, Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor memaklumkan bahawa kerajaan negeri kini berada di peringkat akhir memuktamadkan lantikan peguam untuk meneliti aspek undang-undang, penyediaan dokumen serta proses perundangan di mahkamah.
Pasukan penyelidik Kedah kini berada di London bagi mengesahkan dokumen di beberapa muzium dan perpustakaan utama sebelum difailkan ke mahkamah dalam masa terdekat.
Beliau menjangkakan perkembangan seterusnya akan diketahui dalam tempoh sebulan atau dua bulan selepas beberapa langkah akhir diselesaikan. – HARAKAHDAILY 21/11/2025




















