Perkukuh daya saing negeri, tingkatkan mentaliti progresif

Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail
- Advertisement -

KANGAR: Kepimpinan tertinggi negeri perlu memperkukuh komitmen dalam membawa Perlis ke tahap pembangunan lebih tinggi, menerusi perancangan strategik yang tuntas, peningkatan kapasiti rakyat serta pembentukan mentaliti lebih progresif dan berdikari.

- Advertisement -

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah demikian, sambil menitahkan bahawa bahawa inisiatif yang ada kini ‘tidak lagi memadai’ untuk memacu Perlis ke hadapan

“Justeru negeri ini perlu digerakkan ke fasa seterusnya dengan pendekatan komprehensif yang melibatkan semua peringkat, daripada barisan kepimpinan negeri hinggalah masyarakat akar umbi,” titah Baginda.

Tuanku Raja Muda bertitah, perancangan yang sistematik amat penting, termasuk penetapan sasaran hasil (revenue) yang realistik dan boleh dicapai oleh setiap jabatan.

“Perlis tidak boleh terus bergantung sepenuhnya kepada Kerajaan Pusat, sebaliknya perlu membangunkan kapasiti penjanaan pendapatan sendiri agar pembangunan negeri dapat dilaksanakan secara mampan,” titah Baginda lagi.

Tuanku Raja Muda turut menegur sikap sebahagian masyarakat yang masih terperangkap dalam mentaliti kebergantungan kepada bantuan sedangkan ramai sebenarnya mampu berdikari.

Sikap ini, tegas Baginda, menjadi penghalang kepada kemajuan rakyat dan perlu ditinggalkan demi kepentingan bersama.

Dalam titahnya, Baginda turut menyentuh kepentingan pengurusan data yang tepat dan menyeluruh sebagai asas kepada keberkesanan perancangan negeri.

“Kekurangan kepakaran dalam pengumpulan dan analisis data dikenal pasti sebagai antara kekangan utama yang mesti ditangani segera supaya keputusan dasar dibuat berasaskan maklumat sahih, bukan anggaran atau andaian,” titah Baginda.

Titah berkenaan disampaikan ketika Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan berangkat ke Majlis Reunion Program Eksesais Kerajaan Perlis ke Sabah (Eks Perbah) Siri 17/23, 18/24 dan 19/25 Tahun 2025 yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Utama, Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis di sini semalam.

Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Datuk Rahimi Ismail, serta Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Dr Noriman Rojulai.

Hadir sama Timbalan Komander Rejimen 504 Askar Wataniah (AW), Leftenan Kolonel Lasahi Laiji, dan Pensyarah Puspahanas, Brigedier Jeneral Dr Wan Edenin Wan Mahsin.

Majlis tersebut diadakan khusus bagi memaklumkan perkembangan status dan pelaksanaan tindakan susulan berhubung isu-isu yang dibincangkan dalam Sesi Percambahan Minda Eks Perbah sebelum ini.

Pembentangan tindakan isu serta cadangan percambahan minda telah disampaikan oleh Dr Noriman, Leftenan Kolonel Lasahi dan Brigedier Jeneral Dr Wan Edenin.

Perkongsian tersebut berperanan merangka strategi penyelesaian cabaran semasa, menggalakkan pertukaran idea antara peserta serta memastikan setiap cadangan dapat diterjemahkan kepada tindakan konkrit demi memperkukuh keberkesanan program Eks Perbah pada masa hadapan. – HARAKAHDAILY 21/11/2025

- Advertisement -