
KUALA LUMPUR: Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad (Tun M) menafikan tuduhan yang mendakwa beliau mencuri wang kerajaan berbilion ringgit, sebaliknya menyifatkan dakwaan tersebut sebagai fitnah yang tidak berasas.
Tun M dalam satu kenyataan berkata, pihak yang menuduhnya masih gagal mengemukakan sebarang bukti walaupun sudah lebih setahun berlalu.
“Saya tidak mencuri duit, tetapi ada orang yang menuduh saya mencuri berbillion ringgit duit kerajaan.
“Sehingga sekarang, mereka tidak dapat menunjukkan bukti,” katanya.
Menurut beliau, pihak yang menuduhnya sebelum ini meminta tempoh dua minggu untuk mengemukakan bukti, namun sehingga kini tiada sebarang bukti yang ditunjukkan.
“Sekarang lebih satu tahun, tidak ada bukti yang diberikan,” tegasnya.
Tun M turut menyifatkan tuduhan tersebut sebagai tindakan bermotifkan kebencian terhadap dirinya.
“Kenapa fitnah saya? Kerana benci saya,” katanya, sambil menambah bahawa pihak yang cuba menyekat kebencian adalah mereka yang sebenarnya menyemai kebencian.
Beliau juga mendakwa bahawa setelah gagal menyerangnya secara langsung, pihak yang menuduh kini beralih untuk mengganggu ahli keluarganya, terutamanya anak-anaknya.
“Tidak dapat saya, kacau anak saya,” ujar beliau.
Tun M mengakhiri kenyataannya dengan mengingatkan agar tidak bersikap hipokrit, menegur mereka yang bercakap seolah-olah berakhlak baik tetapi bertindak sebaliknya.
“Jangan cakap seperti Nabi, buat seperti setan (syaitan)!,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/9/2024




















