Merobohkan tembok ‘anti PAS’ bukan Melayu

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-70 di Kompleks al Makmur, Kerdau, Pahang baru-baru ini telah melakar sejarah apabila ia meluluskan sebulat suara usul meminda Perlembagaan PAS dengan membuka keahliannya kepada rakyat Malaysia yang bukan Islam.

Yang Dipertua PAS Kawasan Subang, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, sebelum itu keahlian PAS hanyalah dibuka kepada yang beragama Islam sahaja. 

- Advertisement -

“Dengan pindaan ini bermakna rakyat Malaysia yang bukan Islam boleh menjadi ahli PAS berstatus bersekutu dan bergerak melalui Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) (yang telah ditubuh jauh sebelum usul ini dikemukakan) yang sama statusnya dengan sayap Dewan-dewan lain yang sedia ada. 

“DHPP kelak sebagaimana dewan-dewan lain akan berperanan di peringkat kawasan, negeri dan Pusat. Melaui pindaan ini kepimpinan DHPP sebaris dengan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Kawasan, ahli Perhubungan PAS negeri-negeri dan AJK PAS Pusat. 

“Malah, perwakilan DHPP ke Muktamar Tahunan PAS Pusat nanti sama statusnya dengan dewan-dewan lain, hadir sebagai perwakilan dan diberikan hak bersuara dan mengundi dalam muktamar,” katanya dalam kenyataan terbaharu di media sosial miliknya.

Menurut beliau, itulah pengorbanan dan pengiktirafan PAS kepada masyarakat bukan Islam dalam negara bagi membuktikan bahawa PAS bukannya parti rasis atau ekstremis sebagaimana dituduh musuh-musuh politiknya. 

Beliau menyatakan bahawa penerimaan keahlian bukan Islam itu juga membuktikan kesungguhan PAS menawarkan diri memimpin masyarakat pelbagai kaum dalam negara dengan mengemukan penyelesaian Islam sebagaimana diperjuangkannya.

“Keikhlasan PAS memberikan hak dan keadilan kepada masyarakat bukan Islam boleh dilihat dari rekodnya. 

“Sebelum pun usul ini dibawa ke muktamar, PAS telahpun menerima masyarakat bukan Islam melalui DHPP yang berstatus ‘friends of PAS’. 

“Malah, kewujudan DHPP itu bukan sekadar kosmetik atau retorik, tetapi PAS sanggup memberi laluan kepada mereka di dalam partinya,” jelasnya lagi.

Dalam pada itu, Roslan berkata, sebagai bukti perkara itu, Ketua DHPP Pusat N. Balasubramaniam telah dilantik Ahli Dewan Negara atau Senator pada 16 Jun 2020 selama sepenggal semasa PAS menjadi sebahagian Kerajaan Persekutuan. 

Tambah beliau, wakil-wakil DHPP juga dilantik sebagai Pegawai Tugas-tugas Khas oleh Menteri-menteri Besar PAS di Kelantan, Terengganu dan Kedah. 

“Mereka juga ada yang dilantik sebagai ahli-ahli majlis PBT (Pihak Berkuasa Tempatan) semasa PAS duduk dalam beberapa Kerajaan negeri selain Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis contohnya di Selangor satu ketika dahulu.

“Dan lebih dari itu, wakil-wakil DHPP ada yang dinamakan sebagai calon PAS dan bertanding dalam Pilihan Raya Umum (PRU) sama ada bagi kerusi Parlimen atau Negeri terakhir dalam PRU15 lalu.

“Adalah diyakini dengan pengiktirafan mereka sebagai ahli bersekutu PAS ini, banyak lagi peranan boleh dimainkan oleh masyarakat bukan Islam sekali gus menafikan segala tohmahan jahat kononnya PAS ini tidak mesra masyarakat bukan Islam,” katanya.

Menurut beliau lagi, sebelum itu antara skrip yang diulang-ulang musuh politik PAS ialah kononnya PAS mahu memaksa masyarakat bukan Islam menerima Islam dengan meninggalkan agama mereka dan mahu menghapuskan adat serta kepercayaan mereka 

Semua perkara itu, ujar Roslan, akan dapat dipatahkan apabila DHPP berperanan terjun ke dalam masyarakat dengan membawa mesej yang sebenar.

Menurutnya, negara Malaysia yang tercinta ini berdaulat dengan kehadiran masyarakat pelbagai kaum dan agama.

“Realiti ini tidak pernah ditolak oleh PAS, malah PAS terus berusaha sejak penubuhannya untuk membuktikan bahawa keadilan dan kesejahteraan Islam yang ia perjuangkan akan memberi tempat dan peranan kepada semua termasuklah masyarakat bukan Islam yang minoriti,”jelasnya.

Roslan menegaskan, pentadbiran PAS di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis kini menjadi ‘bukti hidup’ perjuangan PAS yang tidak pernah menindas atau mendiskriminasi mana-mana pihak dalam negara. 

“Dengan pemerkasaan DHPP itu, rakyat Malaysia khasnya yang bukan Islam boleh dicairkan segala kegusaran mereka terhada PAS yang lahir sebelum itu dari kerja-kerja jahat musuh-musuh politik PAS,” hujahnya.

Beliau berkata, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Wong Chun Wai adalah salah seorang yang memang terkenal tidak pernah memberi ulasan adil dan positif terhadap PAS sepanjang kariernya di bidang media.

Ahad lepas dalam kolum Chun Wai di sebuah akhbar tempatan mengulas Muktamar PAS ke 70 dengan menyebut kononnya PAS beria mahu dapatkan sokongan bukan Melayu tetapi tiada apa yang boleh ia tawarkan. 

“Dalam penulisan satu mukanya itu beliau langsung tidak sentuh usul yang diluluskan ini tetapi lebih fokus memperlekeh dan memperkecilkan PAS.

“Semoga usaha melalui pindaan Perlembagaan PAS ini akan membuka ruang untuk PAS dengan bantuan DHPP memecahkan tembok anti PAS di kalangan bukan Melayu yang telah lama dibina oleh musuh-musuhnya termasuklah pengamal media seperti Wong.

“Kita yakin dan percaya masyarakat bukan Melayu masih terbuka dan boleh dipengaruhi kiranya langkah yang strategik dan bijak diambil oleh PAS bagi mendekati mereka,” ujarnya.

Beliau menyatakan, bukan Melayu perlu diyakinkan bahawa PAS melahirkan kepimpinan yang berwibawa dan bersih dan paling penting takut kepada Allah SWT. 

“Kualiti kepimpinan seumpama itu katanya akan menjamin negara dipimpin oleh mereka yang bertanggungjawab, tidak korap, bermoral tinggi dan tidak sesekali akan bertindak zalim kepada sesama rakyat Malaysia.

“Inilah yang diperlukan Malaysia. Selamat negara, stabil ekonomi dan politik dan melimpahlah kesejahteraan buat semua,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/9/2024

- Advertisement -