
KUALA LUMPUR: Puting beliung, hujan batu, tanah runtuh, banjir kilat, tanah runtuh, fenomena kepala air, pokok tumbang, panahan kilat dan kerosakan struktur tidak kukuh antara kejadian tidak diingini yang diramal berlaku sepanjang fasa peralihan monsun di Malaysia bermula hari ini.
Permulaan fasa peralihan monsun yang bermula 24 September 2024, Selasa (hari ini) itu dijangka akan berterusan sehingga awal november 2024 dan seluruh Malaysia diminta berwaspada.
Jabatan Metereologi Malaysia (METMalaysia) dalam satu kenyataan baru-baru ini telah memaklumkan bahawa peralihan ini berlaku setelah berakhirnya monsun barat daya yang telah bermula sejak 17 Mei 2024 dan akan bermulanya fasa peralihan monsun timur laut.
“Tempoh peralihan Monsun barat daya ini bermula pada penghujung Mac hingga pertengahan Mei manakala bagi monsun timur laut ini bermula hujung September hingga awal November,” ujarnya dalam satu kenyataan di laman rasmi Facebook rasminya.
Dalam pada itu, METMalaysia turut berkongsi beberapa corak cuaca sepanjang fasa peralihan monsun timur laut ini dengan dimulakan dengan tiupan angin yang lemah dari pelbagai arah dan langit cerah pada waktu pagi.
“Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang yang lebih menyeluruh akan berlaku dalam jangka masa singkat pada waktu petang hingga awal malam dan peralihan monsun ini juga, berpotensi menjana puting beliung dan menghasilkan hujan batu,” katanya.
Sementara itu, corak cuaca fasa peralihan Monsun Timur Laut ini akan berlaku di kebanyakan kawasan barat dan pendalaman Semananjung, barat Sabah serta kawasan selatan dan tengah Sarawak.
“Oleh itu, banjir kilat, tanah runtuh, fenomena kepala air, pokok tumbang, panahan kilat dan kerosakan struktur tidak kukuh akan sering terjadi akibat kesan cuaca peralihan monsun ini,” ujar kenyataan itu. – HARAKAHDAILY 24/9/2024




















