Jalur Gemilang diturunkan, diganti bendera Sabah dan Sarawak

Tangkap layar gambar dari video tular baru-baru ini di media sosial yang memaparkan bendera Malaysia, Jalur Gemilang telah diturunkan dan diganti dengan bendera Sabah dan Sarawak di hadapan sebuah bangunan Parlimen di Victoria Melbourne, Australia.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tular satu video baru-baru ini di media sosial yang memaparkan bendera Malaysia, Jalur Gemilang telah diturunkan dan diganti dengan bendera Sabah dan Sarawak di hadapan sebuah bangunan Parlimen di Victoria Melbourne, Australia.

Video yang telah mendapat perhatian rakyat Malaysia sekaligus meraih pelbagai reaksi di media sosial apabila beberapa individu telah menyanyikan lagu Sabah dan Sarawak ketika menaikkan kedua-dua bendera negeri tersebut.

- Advertisement -

Walau bagaimanapun, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuka kertas siasatan di bawah Akta Hasutan 1948 serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan didapati terdapat 35 laporan tentang video tersebut.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, tindakan individu-individu itu kononnya sebagai simbolik penamatan ‘penjajahan’ Malaysia ke atas kedua-dua negeri itu serta cubaan menjadikan Sabah dan Sarawak sebagai republik.

Menurutnya lagi, hasil siasatan juga mendapati video itu disyaki ditularkan oleh pemilik akaun media sosial beralamat di Sabah yang memiliki dua rekod jenayah membabitkan Seksyen 500 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Susulan itu, lelaki itu sedang dibicarakan di mahkamah Kota Kinabalu tetapi dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM3,000 sementara menunggu sebutan semula kes pada November depan.

Dalam pada itu, pihak PDRM juga masih menyiasat hubungan antara suspek dengan individu yang merakam semasa penurunan jalur gemilang terjadi pada Hari Malaysia yang lalu, 16 September 2024. – HARAKAHDAILY 24/9/2024

- Advertisement -