
PADANG TERAP: “The Greater Kedah is real!” demikian keyakinan disuarakan Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi dan Sains, Teknologi dan Inovasi, Dr Haim Hilman Abdullah.
Ia dinyatakan apabila Kedah sekali lagi membuktikan kemampuan menarik pelaburan bertaraf global menerusi komitmen terbaharu syarikat Prinx Chengshan Ltd dari China.
Pada 18 November 2025, Kedah mencapai satu lagi detik bersejarah apabila syarikat pengeluar tayar terkemuka dunia itu memilih Kedah Rubber City (KRC) di Padang Terap sebagai destinasi pelaburan strategik mereka.
Keputusan tersebut dibuat setelah Kedah berjaya meyakinkan syarikat berkenaan yang turut mempunyai kilang di Thailand, untuk melabur secara besar-besaran di KRC.
Menurut Dr Haim, Prinx Chengshan bakal melabur sebanyak RM1.2 bilion bagi Fasa 1, diikuti RM1.3 bilion bagi Fasa 2, menjadikan jumlah keseluruhan RM2.5 bilion.
“Pelaburan ini menandakan kemunculan satu lagi kawasan perindustrian berteknologi tinggi di Kedah, sejajar dengan agenda pembangunan besar negeri iaitu The Greater Kedah,” katanya.
Beliau menyatakan bahawa KRC dibangunkan khusus untuk memacu pembangunan ekonomi Daerah Padang Terap dan Kedah secara umumnya.
“Justeru, semua pihak sama ada daripada peringkat daerah, negeri hingga pusat, meliputi sektor awam dan swasta wajib memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelabur.
“Exceed investors’ expectation. Kedah mesti konsisten sebagai destinasi pelaburan terbaik di Malaysia. Hargai setiap pelabur yang memilih Kedah, dan berikan perkhidmatan yang laju, berintegriti dan mesra,” tegas Dr Haim.
Tambah beliau, rekod cemerlang Kedah dalam menarik beratus bilion ringgit pelaburan dalam tempoh lima tahun terkini bukan berlaku secara kebetulan.
Sebaliknya jelas beliau, hasil kepercayaan pelabur terhadap kepimpinan negeri di bawah Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, selain ketelusan serta kecekapan sistem pentadbiran negeri.
“Hubungan erat dan harmoni antara agensi kerajaan negeri serta persekutuan turut menjadi faktor penentu keyakinan pelabur antarabangsa,” ujar beliau.
Namun begitu, kata beliau lagi, Kedah tidak boleh leka dan mesti terus menambah baik sistem penyampaian di semua peringkat.
“Hal ini kerana proses penilaian pelabur global ketika memilih lokasi pelaburan adalah sangat rapi dan bersandarkan analisis mendalam.
“Apabila mereka memilih Kedah berbanding negeri lain, itu bermakna Kedah adalah yang terbaik dan mempunyai ciri strategik yang mereka perlukan. Untuk kekal kompetitif, warga kerja dan rakyat Kedah perlu berfikir serta bertindak seperti rakyat negara kelas pertama,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh rakyat Kedah untuk bersama menggembleng tenaga, memacu pembangunan dan memastikan negeri terus mendaki tangga kecemerlangan.
“Ayuh rakyat Kedah. Kita mampu melakukannya. The Greater Kedah is real,” katanya penuh semangat.
Pelaburan besar Prinx Chengshan di KRC sekali lagi membuktikan kemampuan Kedah sebagai sebuah negeri yang bukan sahaja stabil, malah progresif, berdaya saing dan diyakini oleh pelabur antarabangsa. – HARAKAHDAILY 21/11/2025




















