
SHAH ALAM: Tragedi kematian seorang jururawat akibat terlanggar anjing liar di Kampung Perepat wajar menjadi titik tolak kepada Kerajaan Negeri Selangor untuk memperkemas sistem pengurusan keselamatan awam yang dilihat masih mempunyai lompang.
Ketua Penerangan PAS Selangor, Yusfarizal Yussoff berkata, kejadian pada 13 Julai 2025 yang menimpa Allahyarhamah Fatimatun Zaharah Ismail Kamel, seorang ibu tunggal kepada empat orang anak itu telah menggoncang emosi masyarakat setempat.
Menurut beliau, kejadian ini membuktikan bahawa isu keselamatan asas rakyat perlu diberi perhatian segera dan serius oleh pihak berwajib.
“Kawasan tersebut telah dikenal pasti sebagai kawasan panas (hotspot) anjing liar sejak beberapa tahun lalu dengan aduan berulang oleh penduduk.
“Namun dukacita, sehingga tragedi berdarah ini berlaku, tiada intervensi berkesan yang dilaksanakan oleh pihak berkuasa,” katanya.
Terdahulu, isu tersebut disentuh oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sementa, Noor Najhan Mohamad Salleh dalam perbahasan Belanjawan Selangor 2026 pada Persidangan Dewan Negeri Selangor.
Najhan mendedahkan tiga kelemahan utama dalam sistem semasa iaitu ketiadaan data negeri yang bersepadu, kawalan populasi yang tidak strategik dan penguatkuasaan pemilikan anjing peliharaan yang lemah.
“Tiada papan pemuka (dashboard) yang menyatukan data daripada 12 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seperti aduan, tangkapan dan pemandulan menyebabkan tindakan tidak selaras.
“Selain itu, sebahagian anjing liar berpunca daripada sikap tidak bertanggungjawab pemilik yang melepaskan haiwan ke kawasan awam,” jelas Najhan.
Bagi menangani kemelut ini, PAS Selangor menyokong penuh cadangan agar penyelarasan data diperkemas melalui empat inisiatif.
“Laporan data negeri wajar disatukan secara bulanan oleh 12 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk pemantauan berpusat.
“Laksanakan kawalan populasi berfasa menerusi kaedah Tangkap, Mandul, Lepas (TNR) terutamanya di kawasan hotspot.
“Mewajibkan penandaan mikrocip di zon berisiko tinggi bagi tujuan audit keberkesanan dan Menetapkan had masa tindakan maksimum bagi setiap aduan keselamatan yang diterima,” katanya.
Dalam pada itu, Yusfarizal menegaskan, tragedi yang menimpa Allahyarhamah Fatimatun Zaharah harus menjadi iktibar kepada seluruh jentera pentadbiran negeri.
“Rakyat berhak hidup dalam komuniti yang selamat. Menjadi tanggungjawab kerajaan negeri untuk memastikan keselamatan asas ini dipelihara dengan konsisten.
“Inilah ukuran sebenar sebuah negeri maju; bukan sekadar pada angka pelaburan, tetapi pada keupayaan menjamin keselamatan dan kesejahteraan warganya,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/11/2025











