
SEREMBAN: PAS Kawasan Seremban menyuarakan kebimbangan serius berhubung insiden tembak-menembak yang berlaku di Sendayan malam kelmarin, mencetuskan kegusaran dalam kalangan penduduk setempat.
Yang Dipertua PAS kawasan, Ustaz Rosmin Adam berkata, kejadian jenayah berat seumpama itu tidak sepatutnya berlaku, malah ia menimbulkan persoalan besar mengenai tahap keselamatan awam di kawasan tersebut.
Sehubungan itu, beliau mendesak pihak berkuasa keselamatan memberikan penjelasan segera kepada masyarakat mengenai situasi sebenar serta status terkini siasatan bagi meredakan kebimbangan awam.
“Kami menggesa pihak berkuasa untuk mempertingkat rondaan, kawalan keselamatan serta tindakan pencegahan di kawasan berisiko bagi memastikan kesejahteraan penduduk terus terpelihara,” katanya.
Menurut beliau, keselamatan rakyat merupakan keutamaan yang tidak boleh dikompromi.
“PAS Kawasan Seremban komited memantau isu ini demi memastikan Seremban kekal sebagai bandar yang aman dan selamat,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru masyarakat agar kekal tenang dan tidak menyebarkan sebarang maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu siasatan polis.
Terdahulu, media melaporkan seorang lelaki bukan sahaja diserang dengan parang, malah ditembak mati berhampiran sebuah restoran tomyam di Nusari Biz, Sendayan.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.00 malam itu, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah kesan tetakan dan tembakan pada badan.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad memaklumkan bahawa polis menerima panggilan kecemasan MERS 999 daripada orang awam pada jam 11.23 malam.
Menurut beliau, hasil semakan mendapati mangsa mempunyai 42 rekod jenayah lampau membabitkan pelbagai kesalahan.
Siasatan lanjut sedang giat dijalankan bagi mengenal pasti motif dan suspek terlibat. – HARAKAHDAILY 21/11/2025











