Kesal orientasi UM diselitkan hiburan melampau

- Advertisement -

KOTA BHARU: Dewan Ulamak PAS Negeri Kelantan (DUPNK) melahirkan rasa dukacita terhadap kandungan program minggu orientasi mahasiswa baharu di Universiti Malaya diselitkan elemen hiburan yang dilihat menggalakkan budaya hedonisme dalam kalangan pelajar.

- Advertisement -

Ketua Penerangannya, Ustaz Abdul Fattah Abu Mursie berkata, institusi pengajian tinggi sepatutnya menjadi medan pembentukan ilmu, adab dan akhlak, bukannya platform kepada aktiviti yang boleh menjejaskan jati diri mahasiswa.

“DUPNK memandang serius program orientasi mahasiswa baharu Universiti Malaya yang tular baru baru ini kerana terdapat elemen hiburan yang dilihat bercanggah dengan peranan institusi pengajian tinggi sebagai benteng pembentukan akhlak dan keperibadian pelajar,” katanya.

Menurut beliau, universiti merupakan pusat kecemerlangan ilmu yang melahirkan golongan intelektual serta bakal pemimpin negara di mana setiap pengisian program perlu menjurus kepada pembinaan sahsiah dan nilai murni.

“Islam menegaskan kehidupan dunia bukan sekadar dipenuhi hiburan yang melalaikan, sebaliknya umat Islam diseru mengutamakan kehidupan akhirat sebagaimana dinyatakan dalam Surah al An’am ayat 32,” ujarnya.

Beliau berkata, mahasiswa yang baru memulakan kehidupan di kampus sewajarnya didedahkan dengan nilai integriti, disiplin, adab serta semangat mencintai ilmu agar matlamat sebenar menuntut ilmu tidak terpesong.

Tambahnya lagi, ketika masyarakat berdepan pelbagai cabaran sosial dan kemerosotan akhlak, universiti perlu memainkan peranan lebih besar dalam melahirkan graduan yang berilmu, berintegriti serta memiliki keperibadian unggul.

“Ibu bapa meletakkan harapan tinggi agar anak anak mereka bukan sahaja berjaya dalam bidang akademik, malah dibentuk sebagai insan yang berakhlak mulia sepanjang berada di institusi pengajian tinggi.

“Harapan tersebut perlu dipikul bersama oleh seluruh warga universiti demi memastikan matlamat pendidikan dapat direalisasikan,” ujarnya lagi.

Sehubungan itu, beliau menggesa pihak pengurusan universiti memastikan setiap program yang dirancang selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan serta menghayati prinsip Kesopanan dan Kesusilaan yang terkandung dalam Rukun Negara.

Katanya, institusi pengajian tinggi hendaklah terus memelihara kedudukannya sebagai pusat pembangunan ilmu dan pembentukan insan.

Supaya ujarnya, graduan yang dilahirkan bukan sahaja cemerlang dalam akademik, bahkan memiliki akhlak terpuji serta mampu berbakti kepada agama, bangsa dan negara. – HARAKAHDAILY 13/7/2026

- Advertisement -