PAS sampaikan takziah atas pemergian Bapa Emir Qatar

- Advertisement -

SAYA merakamkan ucapan takziah kepada Kerajaan dan rakyat Negara Qatar, serta seluruh kerabat diraja, atas pemergian Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sheikh Hamad Khalifa Al Thani, Bapa Emir Negara Qatar, yang telah kembali ke rahmatullah.

- Advertisement -

Almarhum merupakan seorang negarawan berwawasan yang telah mengubah Qatar menjadi antara negara yang disegani di persada dunia.

Sepanjang pemerintahan baginda, Qatar mencapai kemajuan yang amat pesat dalam bidang ekonomi, pendidikan, media dan hubungan antarabangsa, di samping memperkukuhkan kedudukannya dalam dunia Islam serta masyarakat antarabangsa.

Legasi almarhum terserlah melalui pembangunan sektor tenaga negara, penubuhan pelbagai institusi strategik, serta usaha memperkukuh kerjasama antarabangsa yang memberikan manfaat besar kepada pembangunan serantau dan global.

Kebijaksanaan serta komitmen baginda dalam membangunkan negara akan terus menjadi inspirasi kepada generasi akan datang.

Bagi pihak gerakan Islam, saya merakamkan ucapan takziah kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sheikh Tamim Hamad Al Thani, seluruh kerabat diraja, serta rakyat Negara Qatar atas kehilangan besar ini.

Semoga Allah SWT mengampunkan segala dosa almarhum, menerima segala amal solehnya, melimpahkan rahmat ke atas rohnya, serta menempatkannya dalam kalangan para solihin.

Al-Fatihah.

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS – HARAKAHDAILY 13/6/2026

- Advertisement -