‘Orang PAS sanggup jadi lilin yang membakar diri’

Demi pertahan kuasa politik Melayu-Islam

- Advertisement -

SEREMBAN: Parti Islam Se-Malaysia (PAS) sanggup berkorban dengan menggerakkan seluruh kekuatan parti bagi membantu memastikan kuasa politik Melayu-Islam terus dipertahankan di Johor pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, walaupun parti itu tidak memenangi sebarang kerusi dalam PRN berkenaan, tindakan itu dilakukan atas dasar islah bagi memperbaiki keadaan mengikut kemampuan.

“Umno BN menang tak apa. PAS sanggup berkorban, orang PAS bekerjalah di sana. Kerahkan orang PAS dalam kawasan yang PAS tak bertanding, undi BN.

“Tempat MCA undi BN, nak kalahkan DAP, kalahkan DAP, (lalu BN) menang, menang besar. Kita tak apalah, tak menang satu kerusi pun kerana kita melakukan islah,” ujar Tuan Guru memetik surah Hud ayat 88.

Ahli Parlimen Marang berkata demikian dalam majlis Makan Malam Perdana di Casa Lagenda Convention Center Seremban, di sini malam tadi.

Tuan Guru menjelaskan, PAS sanggup mengorbankan tenaga dan kewangan apabila seluruh negara menggerakkan jentera bagi berkempen di Johor kerana mahu mengekalkan kuasa politik Melayu-Islam.

“Kita buat di Johor. Alhamdulillah selamat. Orang PAS tak apalah sanggup korbankan diri jadi lilin yang membakar diri dia untuk beri cahaya pada orang lain, tak apa,” tegasnya.

PAS ditawar dua kerusi

Tuan Guru turut mendedahkan bahawa, sebelum PRN Johor, pimpinan Umno ada bertemu dengannya bagi membincangkan kerjasama termasuk cadangan memberikan dua kerusi kepada PAS.

Dedah Tuan Guru, satu daripada kerusi itu adalah kerusi lantikan, manakala satu lagi kerusi pertandingan yang akan menggunakan simbol dacing.

“PAS (ditawarkan) bertanding, Umno tak (meletakkan calon untuk) lawan, (tetapi dengan syarat kena) guna simbol dacing. Jangan guna simbol bulan, simbol dacing.

“Saya rasa dua kerusi ni tak boleh menolong. Umno jangan ingat dia kuat sampai bila-bila,” tegur mantan Naib Ketua Kesatuan Ulama Islam Sedunia itu.

Hujahnya, keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) menunjukkan terdapat kawasan Umno yang kalah kepada calon Melayu daripada DAP termasuk di Selangor dan Johor.

“Dalam kita berpecah, Johor boleh jatuh. Tak boleh (jadi begitu). Bukan kita (PAS) fanatik, tidak. Kerana mengikut adab politik, mesti orang Melayu memimpin. Ini dia.

“Dengan sebab itu kita minta biarlah banyak (orang Melayu menang). Terpaksalah kita bertanding 11 kerusi. Tanding 11 daripada 56 yang baki itu dialah,” ulasnya.

Politik Negeri Sembilan

Mengulas situasi politik di Negeri Sembilan, Tuan Guru menjelaskan, PH memiliki 17 kerusi, Umno 14 kerusi, manakala PERIKATAN NASIONAL mempunyai lima kerusi yang terdiri daripada dua kerusi BERSATU dan tiga kerusi PAS.

“Umno Pusat ikut UmDAP, sokong DAP kerana duduk dalam kerajaan. Umno Negeri Sembilan terpaksa juga ikut UmDAP bergabung dengan DAP dengan Pakatan Harapan kerana duduk dalam kerajaan.

“Tapi bila saat akhir Umno Negeri Sembilan keluar daripada kerajaan, keluar dari kerajaan 14 orang. Maka kami daripada PERIKATAN NASIONAL lima orang mendukung 14 campur 5 jadi 19.

“Mana besar 19 dengan 17? Besar 19 lah. Maka boleh tukar kerajaan. Malangnya dua orang (ADUN) daripada BERSATU ni batalkan sokongan. Tarik balik ‘signed’ SD dia menyebabkan tak cukup.

“Kami tanya pasal apa batal? Kerana Umno pun dia kata nak batal juga. Kita siasat-siasat, Umno tak batal. Dia dua (ADUN BERSATU) ni yang nak batal,” kesalnya.

Beliau memaklumkan, PAS kemudian mengambil tindakan membatalkan kerjasama dengan BERSATU selepas berlaku tindakan yang menyebabkan sokongan tidak mencukupi.

“Ini khianat. Kerana sebab itu PAS bertindak batalkan kerjasama dengan BERSATU. Batal kerjasama,” tegasnya mengulangi pendedahan perkara tersebut.

Tuan Guru berkata, PAS menyertai PRN Johor menggunakan simbol PERIKATAN NASIONAL bagi mengelakkan kekeliruan selepas BERSATU turut bertanding menggunakan simbol sama.

“Kita pakai simbol PERIKATAN NASIONAL. Yang BERSATU nak bertanding juga lawan di Johor, kita 11, dia bertanding nak pakai simbol yang sama, jadi keliru. Kita minta jangan bertindih, tak apalah dia, jangan bertindih” ceritanya.

Cina Johor ikut Cina Sabah

Beliau turut menyifatkan kemenangan besar BN di Johor berlaku kerana pengundi Cina di negeri itu mengikuti perkembangan seperti di Sabah yang menolak DAP.

Tuan Guru menjelaskan, perkara sama boleh berlaku di Negeri Sembilan apabila masyarakat Cina menilai semula sokongan terhadap DAP.

“Takkan Cina Negeri Sembilan tak boleh tolak DAP? Cina Johor pun tolak DAP kerana perkauman Cina menyusahkan orang Cina. Fanatik Cina (oleh DAP) menyusahkan. Jadi kelahi balik, tak boleh,” ulas Tuan Guru.

Menurut Tuan Guru, terdapat masyarakat Cina yang berfikiran waras, namun ada juga yang hanya mahu mendapatkan kuasa.

“Ada orang Cina yang berfikiran waras yang akal dia sihat. Ada Cina (Pakatan Harapan-DAP) yang nak dapat kuasa saja atau dapat kuasa itulah.

“(Ada orang Cina yang) Bertanding kawasan Melayu nak buat pilihan raya perbandaran nak kuasai bandar dan sebagainya. Ini kita tentang kita lawan dalam Pakatan Harapan,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/6/2026

- Advertisement -
- Advertisement -