
KUALA LUMPUR: Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) digesa memberikan penjelasan serta mendedahkan perjanjian pembangunan Projek Tanah Perkuburan Islam Raudatul Sakinah di Semenyih bagi merungkai persoalan dibangkitkan masyarakat.
Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Azmer Syazwan Ahmad Suparmin berkata, penjelasan kerajaan masih belum menjawab isu pokok yang menjadi kebimbangan rakyat.
Terutama katanya, bahawa tanah berkenaan kekal di bawah Pesuruhjaya Tanah Persekutuan dan pengurusan akhirnya akan diserahkan kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).
Menurut beliau, persoalan sebenar bukanlah mengenai status pemilikan tanah atau pihak yang akan menguruskan pengebumian selepas projek itu siap, sebaliknya melibatkan rasional penglibatan syarikat swasta dalam pembangunan institusi perkuburan umat Islam.
“Persoalan yang mesti dijawab ialah mengapa syarikat swasta diberikan peranan dalam pembangunan projek yang menyentuh institusi perkuburan umat Islam.
“Apakah skop sebenar penglibatan tersebut, bagaimana proses pemilihannya dibuat, serta apakah jaminan bahawa tidak akan wujud sebarang bentuk kepentingan komersial terhadap aset yang berkaitan dengan maslahat umat Islam?” soalnya.
Beliau berkata, jika benar penglibatan pihak swasta hanya terhad kepada kerja-kerja pembangunan awal, kerajaan perlu membuktikan komitmennya terhadap prinsip ketelusan dengan mendedahkan keseluruhan maklumat berkaitan projek berkenaan.
Menurut beliau, antara perkara wajar didedahkan ialah skop penuh perjanjian, tempoh kontrak, bentuk bayaran serta obligasi kedua-dua pihak, selain menjelaskan sama ada terdapat sebarang hak, konsesi, keutamaan atau manfaat yang bakal diperoleh selepas projek disiapkan.
“Kerajaan juga perlu menjelaskan proses perolehan yang digunakan bagi melantik pihak terbabit. Ketelusan bukan pilihan, tetapi kewajipan,” tegasnya.
Azmer Syazwan berkata, Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan turut melahirkan kebimbangan apabila pelbagai laporan terus berlegar dalam kalangan masyarakat.
Namun sehingga kini menurutnya, pihak kementerian berlaitan masih belum mengemukakan penjelasan secara menyeluruh melalui pendedahan dokumen dan fakta yang lengkap.
Beliau menegaskan bahawa institusi tanah perkuburan Islam bukan sekadar projek pembangunan biasa, sebaliknya melibatkan amanah terhadap umat Islam serta pengurusan jenazah yang mempunyai dimensi hukum syarak.
“Atas sebab itu, kerajaan tidak boleh mengharapkan rakyat menerima bulat-bulat kenyataan umum tanpa penjelasan yang boleh disemak,” katanya.
Beliau turut menuntut agar diadakan sesi libat urus bersama badan bukan kerajaan (NGO) Islam, pakar syariah, pengamal undang-undang dan masyarakat dengan kadar segera.
Selain itu, katanya, sebarang bentuk pengkomersialan atau penguasaan kepentingan swasta terhadap pengurusan tanah perkuburan umat Islam hendaklah ditolak sekiranya bercanggah dengan dasar serta kepentingan awam.
NORHANA MAT ZIN”Rakyat berhak mengetahui. Kerajaan wajib menjawab,” katanya. – *HARAKAHDAILY 13/7/2026*











