‘Islam-Melayu pimpin Negeri Sembilan macam Johor’

Mungkin ada pertukaran antara PAS dan Umno di dua kerusi disandang BERSATU

- Advertisement -

SEREMBAN: Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengesahkan perbincangan kerjasama dengan Umno bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan sedang berjalan dan berada pada tahap sangat positif.

- Advertisement -

Beliau berkata, usaha kerjasama itu sudah dimulakan sejak peringkat awal termasuk melalui usaha mengambil alih kerajaan menerusi sokongan akuan berkanun (SD).

“Kita sedang usaha kerjasama. Bahkan peringkat awal, kita dah usaha kerjasama untuk ambil alih kerajaan melalui SD. Kita gerakkan PERIKATAN NASIONAL, malangnya dua (ADUN) BERSATU tarik diri. Umno tak tarik diri.

“Itu ada ruanglah untuk kerjasama nampaknya daripada awal,” ujar Tuan Guru dalam sidang media selepas Makan Malam Perdana di Casa Lagenda Convention Center Seremban, di sini malam tadi.

Ditanya mengenai perkembangan terkini rundingan, Ahli Parlimen Marang itu menjelaskan, perbincangan masih berjalan dan disifatkan sangat positif.

Mengenai pembahagian kerusi, beliau menegaskan, perkara itu sedang dibincangkan berdasarkan kewajaran, dengan mengambil kira kedudukan kerusi sedia ada.

“Mestilah Umno dia sudah dapat 14 kerusi. Kita lima kerusi. Yang baki tu, baki daripada PKR macam-macam ni, daripada DAP, ini kita boleh bahagi-bahagikan,” jelasnya.

Mantan Naib Ketua Kesatuan Ulama Islam Sedunia itu memaklumkan, keputusan akhir mengenai perkara itu akan diketahui apabila nama calon diumumkan.

Mengenai bentuk kerjasama yang bakal dijalinkan, Tuan Guru memaklumkan, pihaknya menerima hakikat bahawa Umno mendominasi Negeri Sembilan dan akan memimpin negeri itu.

“Bentuk kerjasama kita terima hakikat Negeri Sembilan Umno dominasi, dia (Umno) pimpin (Negeri Sembilan). Penyertaan (PAS dalam Kerajaan Negeri Sembilan) itu akan dibincang balik, bincang dengan kita,” tegasnya.

Ditanya sama ada PAS akan mengurangkan jumlah kerusi yang dipertandingkan, beliau menegaskan, perkara itu akan dilihat berdasarkan kewajaran.

“Kita dah ada tiga. Oleh kerana yang baki lagi itu PH, ini mungkin berlaku pembahagianlah. Tengok kewajaran dia. Kewajaran dia. PERIKATAN NASIONAL dah ada lima kerusi. Umno dah ada 14 ikut status quo. Yang baki tu bincang,” ulas Tuan Guru.

Mengenai jawatan Menteri Besar sekiranya berlaku perubahan pentadbiran negeri, Tuan Guru menjelaskan PAS tidak mempunyai masalah mengenai perkara itu.

Beliau menegaskan, matlamat utama adalah memastikan kepimpinan Islam Melayu menerajui Negeri Sembilan.

“Islam Melayu pimpin Negeri Sembilan macam Johorlah,” ulas mantan Menteri Besar Terengganu itu.

Sementara itu, mengenai penggunaan logo pada PRN Negeri Sembilan, Tuan Guru memaklumkan, perkara itu masih dalam perbincangan dan setiap parti berkemungkinan menggunakan logo masing-masing.

“Logo masing-masing. PAS tak tahu lagi nak guna (logo) PERIKATAN NASIONAL ke nak guna (logo) PAS, kita nanti lihat itu masih dalam perbincangan,” ulasnya lagi.

Mengulas mengenai lima kerusi PERIKATAN NASIONAL yang terdiri daripada tiga kerusi PAS dan dua kerusi BERSATU, Tuan Guru menjelaskan, kedudukan dua kerusi BERSATU itu akan dilihat berdasarkan kewajaran.

“Dua (kerusi DUN disandang) BERSATU akan dilihat kewajaran nak bagi ke PAS ke nak bagi ke Umno, mungkin ada tukar menukarlah, tukar menukar tu ada,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/7/2026

- Advertisement -