
KUALA LUMPUR: Pemandu calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau meninggal dunia sejurus selesai melaksanakan tugasan yang diberikan pada malam keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16.
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Afnan Hamimi Dato’ Taib Azamudden berkata, Allahyarham Mohd Ali Dzulfakar Mat Zapin difahamkan mengalami sesak dada.
Sesak dada tersebut menurut Ustaz Afnan selepas selesai menghantar Ustaz Hasnul Hakimi Hussein ke Pusat Penjumlahan Undi di Dewan Serbaguna Endau, Mersing.
Menurutnya, Allahyarham kemudian dibawa ke Klinik Kesihatan Endau sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 11.15 malam, 11 Julai lalu.
“Arwah adalah AJK (Ahli Jawatankuasa) Dewan Pemuda PAS Kawasan Mersing. Berusia 39 tahun. Tidak berkahwin. Anak yatim piatu.
“Ibu bapa arwah telah pergi terlebih dahulu meninggalkan arwah. Arwah tinggal seorang diri di rumah pusaka ibu bapanya,” ujar beliau dalam kenyataan.
Menurut Ahli Parlimen Alor Setar itu, paling menyentuh hati ialah hantaran status terakhir Allahyarham dua jam sebelum meninggal dunia.
“‘Moga tangan-tangan kita memberikan persaksian di hadapan Allah yang kita telah buat sesuatu untuk menjaga agama Allah (ISLAM)’” katanya memetik hantaran terakhir Allahyarham.
Ustaz Afnan berkata, warga Pemuda PAS bersaksi bahawa Allahyarham telah mewakafkan diri sepenuhnya untuk membantu jemaah.
“Selamat berehat sahabat kami. Moga Allah ganjarimu dengan syurga-Nya,” katanya.
Allahyarham Mohd Ali Dzulfakar telah selesai dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ismail, Endau. – HARAKAHDAILY 13/7/2026











