
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengecam sekeras-kerasnya tindakan Tourism Malaysia yang menjalin kerjasama dengan syarikat Starbucks bagi kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026), kerana disifatkan tidak sensitif terhadap penderitaan rakyat Palestin yang terus ditindas rejim Zionis.
Ketua DPPM, Ustaz Afnan Hamimi Dato’ Taib Azamudden berkata, Starbucks mempunyai rekod hitam dalam isu Palestin apabila syarikat itu pernah menyaman kesatuan pekerjanya hanya kerana menyatakan solidariti terhadap Palestin dan menuduh solidariti tersebut sebagai sokongan kepada keganasan.
“Tindakan ini membuktikan Starbucks cenderung menyebarkan naratif Zionis dan tidak menghormati perjuangan rakyat Palestin,” ujarnya dalam kenyataan.
Beliau berkata, walaupun Starbucks menarik balik saman tersebut pada Januari 2025, kerosakan imej dan rekod penindasan terhadap suara solidariti tetap tidak boleh dipadamkan, sekali gus menjadikan syarikat itu terus menjadi sasaran boikot masyarakat antarabangsa.
“Pada saat kerajaan dan rakyat Malaysia bersama komuniti global mendukung misi Global Sumud Flotilla yang kini berdepan ancaman Israel, tindakan Tourism Malaysia memilih untuk bekerjasama dengan syarikat mesra Israel ini amat menghampakan serta bercanggah dengan pendirian rasmi kerajaan,” kesalnya.
Sehubungan itu, Pemuda PAS tegasnya menuntut agar Tourism Malaysia segera membatalkan kerjasama tersebut dan menggantikan dengan jenama lain yang lebih mencerminkan identiti tempatan serta tidak terpalit dengan kontroversi pro-Israel.
Beliau turut menegaskan, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) perlu memberikan penjelasan terbuka mengenai keputusan berkenaan kerana isu Palestin bukan sekadar isu politik, tetapi isu kemanusiaan sejagat.
“Malaysia mempunyai rekod panjang menyokong perjuangan rakyat Palestin, maka janganlah reputasi itu dicemari dengan tindakan yang mengguris hati umat Islam dan rakyat Malaysia,” ulasnya yang juga Ahli Parlimen Alor Setar.
Ustaz Afnan berkata, Pemuda PAS akan terus membawa suara anak muda untuk berdiri teguh bersama Palestin dan menentang sebarang bentuk normalisasi dengan syarikat atau entiti yang dilihat menyokong agenda Zionis. – HARAKAHDAILY 6/10/2025




















