Rai Trump bukan keterbukaan, tapi khianati Palestin

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Ulamak PAS Pusat menzahirkan bantahan keras terhadap kehadiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump ke Malaysia sempena Persidangan ASEAN, kerana dianggap menyokong penindasan terhadap rakyat Palestin dan terlibat dalam jenayah kemanusiaan.
 
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Dato’ Mohd Nor Hamzah berkata, individu seperti Trump tidak layak diraikan apatah lagi diberi pentas dalam bumi umat Islam.
 
“Donald Trump secara terbuka mengaku bahawa beliau meluluskan dan membekalkan senjata kepada rejim Zionis Israel atas permintaan Benjamin Netanyahu ketika pembantaian ke atas rakyat Gaza.
 
“Maka, segala peluru yang menembusi tubuh anak kecil Palestin adalah hasil tangan dan dasar kejam yang beliau pelopori,” ujarnya dalam kenyataan semalam.
 
Beliau turut memetik firman Allah SWT dalam Surah Hud ayat 113 yang bermaksud, ‘Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim, nanti kamu disentuh oleh api neraka’.
 
Tegasnya, menjemput dan meraikan individu seperti itu bukan tanda keterbukaan, tetapi pengkhianatan terhadap darah umat Islam yang tumpah di bumi Palestin.
 
Menurutnya, Islam menegakkan prinsip ‘al-wala’ wal-bara’, iaitu kesetiaan kepada Islam dan penolakan terhadap kekufuran serta kezaliman, dan dalam konteks maqasid syariah, menjaga agama (hifz ad-din), nyawa (hifz an-nafs) dan maruah (hifz al-‘ird) adalah tuntutan utama.
 
“Menormalisasi hubungan dengan penzalim bercanggah dengan maqasid ini kerana ia mengabaikan penderitaan umat yang ditindas dan menjejaskan kehormatan Islam di mata dunia,” ulasnya.
 
Beliau turut memetik pandangan Imam al-Qurtubi yang menegaskan, ‘Sesiapa yang redha terhadap kezaliman atau membantu pelakunya walau dengan sekecil-kecil tindakan, maka dia turut menanggung dosa yang sama’.
 
Ustaz Mohd Nor menyeru seluruh umat Islam agar menyatakan pendirian jelas terhadap kehadiran Trump serta menolak normalisasi kezaliman.
 
“Islam menuntut umatnya menolak normalisasi kezaliman dan bangkit mempertahankan maruah ummah,” terangnya sambil menyeru rakyat Malaysia yang cintakan keadilan dan keamanan untuk berhimpun secara aman pada esok selepas solat Jumaat di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat.
 
Beliau turut mengingatkan sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Dawud yang bermaksud, ‘Sebaik-baik jihad ialah kalimah yang benar di hadapan pemerintah yang zalim’.
 
Tegasnya lagi, kehadiran Trump bukan sekadar lawatan diplomatik, tetapi simbol penghinaan terhadap perjuangan umat Islam di Palestin
 
“Umat ini wajib menunjukkan bahawa maruah dan akidah tidak boleh dijual beli atas nama hubungan politik. Menolak penzalim adalah ibadah, membela Palestin adalah maruah,” katanya.
 
Terdahulu, media tempatan melaporkan Trump dijadual tiba di Malaysia Ahad ini bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur.
 
Menteri Komunikasi, Datuk Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil mengesahkan kehadiran itu yang dimuktamadkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri Jumaat lalu.
 
Sidang kemuncak bertemakan ‘Keterangkuman dan Kelestarian’ akan berlangsung dari 26 hingga 28 Oktober dengan penyertaan pemimpin ASEAN serta rakan dialog utama. – HARAKAHDAILY 23/10/2025

- Advertisement -
- Advertisement -