
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia menyeru rakyat Malaysia untuk turun beramai-ramai menyertai Demonstrasi Bantah Trump, esok sebagai tanda solidariti terhadap perjuangan rakyat Palestin dan penolakan terhadap kezaliman rejim Zionis.
Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Afnan Hamimi Taib Azamudden, mempersoalkan tindakan kerajaan yang berhasrat menyambut kehadiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump ke Malaysia.
Beliau menegaskan bahawa Trump merupakan individu yang bertanggungjawab terhadap penderitaan rakyat Palestin akibat sokongan kuat pentadbirannya terhadap rejim Zionis Israel.
“Apa lagi alasan _hangpa_ (kamu) nak terima kehadiran Trump ke Malaysia? Orang macam ni yang kamu nak sambut dengan karpet merah? Orang yang membunuh saudara kita di Palestin ni kah yang kamu nak beria sangat pertahankan?” ujarnya.
Ahli Parlimen Alor Setar itu turut menegur Perdana Menteri (PMX), Dato’ Seri Anwar Ibrahim, agar tidak memberi ruang kepada tokoh yang disifatkannya sebagai pencetus kekejaman terhadap umat Islam.
“Sedarlah PMX oi. Orang macam ni bukan nak keamanan pun, hanya nak menumpahkan darah umat Islam sahaja. Rakyat Malaysia, _hangpa_ jangan lupa, esok ni kita ada Himpunan Bantah Trump. Jangan lupa pakat mai. Kita bagi jadi…” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Mohd Hafez Sabri berkata, sejak Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump memegang tampuk kuasa, hampir USD12 bilion senjata telah dijual kepada Israel melalui program Foreign Military Sales (FMS).
Menurutnya, di bawah pentadbiran Trump dan Biden, lebih USD21.7 bilion bantuan ketenteraan mengalir untuk membunuh anak-anak Palestin dan memusnahkan bumi Gaza.
”Jadi, apa alasan lagi untuk kita membenarkan kehadiran Trump di bumi Malaysia yang tercinta ini! Mari kita tunjukkan bahawa rakyat Malaysia tidak tunduk kepada penjajah moden dan tidak akan berdiam diri terhadap kezaliman Israel serta sekutunya!” ujarnya.
Menurut beliau, perarakan berkenaan akan diadakan esok bermula dari Menara Tabung Haji menuju ke Kedutaan Amerika Syarikat, sejurus selepas solat Jumaat.
“Kita tidak akan berdiam diri selagi Al-Aqsa tidak dibebaskan! Kita tidak akan berdiam diri selagi bumi Palestin tidak merdeka! Kita tidak akan berdiam diri selagi bumi Gaza bermandi darah!” tegasnya.
Beliau turut menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk terus bersuara menentang kezaliman dan menzahirkan solidariti terhadap rakyat Palestin.
“Teruskan bersuara! Break the silence! Jom sama-sama hadir ke Demonstrasi Bantah Trump. Jumpa anda di sana!” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi, Perak.
Terdahulu, media antarabangsa melaporkan Trump menyatakan bahawa Israel boleh melancarkan semula serangan ke atas Gaza jika HAMAS tidak mematuhi pelan damai yang dipersetujui.
Beliau menegaskan tentera Israel akan bertindak sebaik sahaja menerima arahan daripadanya, dan kenyataan itu dibuat ketika Israel mempertimbangkan untuk mengurangkan bantuan kemanusiaan ke Gaza walaupun gencatan senjata masih berkuat kuasa.
Sebelum itu juga, Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menggesa kerajaan supaya tidak menjemput Trump ke Malaysia, sambil menyifatkannya sebagai ‘syaitan besar’ yang tidak wajar diberi kebenaran masuk ke negara ini.
Ahli Parlimen Marang itu menegaskan PAS akan mengerahkan rakyat membantah lawatan Trump ke Sidang Kemuncak ASEAN kerana sokongannya yang kuat terhadap Israel.
Tuan Guru turut mengecam tindakan Trump yang berpura-pura menjadi pendamai di Asia Barat sedangkan perjanjiannya menindas rakyat Palestin dan memberi kelebihan kepada kuasa Barat. – HARAKAHDAILY 23/10/2025











