
KUALA TERENGGANU: PAS Terengganu menyeru seluruh rakyat negeri itu untuk menyertai himpunan besar-besaran bagi membantah kehadiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, ke Malaysia hujung minggu ini.
Ketua Penerangan PAS Terengganu, Mohd Harun Esa berkata, kehadiran Trump bukan sekadar urusan diplomatik antarabangsa, sebaliknya menyentuh maruah umat Islam serta prinsip keadilan sejagat.
“Bagi kami, kehadiran Trump bukan sekadar soal protokol. Ia menyentuh maruah umat Islam, prinsip keadilan sejagat dan solidariti kita terhadap perjuangan rakyat Palestin,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Beliau berkata, sepanjang pentadbiran Trump, dasar luar Amerika Syarikat jelas memperkukuh kedudukan rejim Zionis Israel termasuk mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel dan memindahkan kedutaan negara itu ke sana.
“Tindakan itu secara jelas mencabuli undang-undang antarabangsa serta menyakitkan hati umat Islam di seluruh dunia. Trump juga menjadi pelindung dasar-dasar yang menindas rakyat Palestin dan memberi ruang luas kepada penjajahan di bumi anbiya’,” katanya.
Tambahnya lagi, Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, sebelum ini dalam perbahasan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat menyifatkan Trump sebagai ‘syaitan besar’ yang tidak wajar diundang ke Sidang Kemuncak ASEAN.
“Menurut beliau, tindakan mengalu-alukan kehadiran individu yang secara terbuka menyokong kezaliman adalah sesuatu yang sangat tidak wajar dan bertentangan dengan pendirian umat Islam serta rakyat Malaysia yang cintakan keamanan,” katanya.
Sehubungan itu, Mohd Harun berkata, PAS Terengganu akan menggerakkan seluruh jentera parti termasuk Dewan Pemuda, Dewan Muslimat, Dewan Ulamak serta NGO Islam untuk menyertai himpunan aman tersebut.
“Mobilisasi besar-besaran ini akan dilakukan secara tersusun dan berdisiplin, selaras dengan arahan kepimpinan pusat,” katanya.
Beliau berkata, PAS Terengganu melihat isu ini sebagai ujian kepada prinsip dan keberanian umat Islam untuk bersuara menentang ketidakadilan global.
“Sebagai tanda solidariti dengan rakyat Palestin dan penentangan terhadap dasar kezaliman yang dibawa oleh Trump. Mobilisasi besar-besaran ini akan digerakkan secara tersusun dan berdisiplin, selaras dengan arahan kepimpinan pusat,” katanya.
Beliau berkata, bagi PAS Terengganu, isu berkenaan adalah soal prinsip dan keberanian umat untuk bersuara terhadap ketidakadilan global.
“Malaysia tidak boleh tunduk dengan alasan ‘mengambil peluang diplomatik’ semata-mata, kerana prinsip tidak boleh digadai atas nama keselesaan politik antarabangsa.
“Rakyat Malaysia perlu berdiri teguh menghantar mesej yang jelas kepada dunia bahawa negara ini tidak menyambut kehadiran individu yang menyokong kezaliman terhadap bangsa tertindas.
“PAS Terengganu menyeru seluruh rakyat, khususnya warga negeri ini anak muda, mahasiswa, keluarga dan semua lapisan masyarakat untuk bersiap siaga menyertai himpunan bantah Trump pada Jumaat esok,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/10/2025











