Isu Palestin untuk diperjuangkan bukan untuk ‘ditunggang’

- Advertisement -

ISU PALESTIN tetap menyala dan bertakhta di hati umat Islam, juga kepada insan yang menggalang namanya sebagai manusia. Kejayaan ‘break the siege’ Global Sumud Flotilla (GSF) menjadikan dunia geger gegak dengan isu kemanusiaan di Gaza.

Lebih dua tahun sejak 7 Oktober 2023, Semenanjung Gaza dibedil oleh rejim Zionis, pembantaian berskala besar dihadapkan kepada umat Islam Palestin yang berjuang untuk membebaskan al Quds. Gaza adalah penjara terbesar di atas muka bumi ini, dengan kepadatan penduduk seramai dua juta jiwa, tiada ruang selamat untuk berlindung jika serangan segenap penjuru dihalakan kepada batas jalur yang sempit ini. Tembok tinggi simen, juga jalur pantai mengepung wilayah yang menjadi kubu HAMAS ini. Bedilan segenap penjuru rejim Zionis meratah jasad manusia yang tidak berdosa serta melanggar konvensyen Geneva.

Dua tahun taufan Al-Aqsa, Al-Qassam berjaya membunuh tujuh ribu anggota IDF Israel, berjaya menyebabkan Israel kerugian USD 150 billion, menyebabkan 25,000 orang tentera Israel hilang upaya kekal, melumpuhkan terus dua buah lapangan terbang antarabangsa Israel dan menjadikan Tel Aviv, Haifa, Ashkelon, Ashdod dan lain-lain bandar berantakan disergap sapaan malaikat maut.

- Advertisement -

Dalam ucapan pendahuluan mesyuarat PAS Pusat oleh Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pagi ini, Israel telah kalah namun untuk menjaga air muka terpaksa menggunakan Amerika sebagai orang tengah untuk menghentikan peperangan dua tahun ini. Bukti kekalahan ini boleh kita rujuk sebagai kerosakan teruk reputasi Israel di mata dunia.

Benjamin Netanyahu hilang air muka kepada rakyatnya sendiri, hilang lebih seribu kereta kebal Merkava yang canggih, Israel hilang segala perancangan untuk mengubah Gaza, tiada lagi istilah ‘risikan ketenteraan terbaik dunia’ serta pelbagai jolokan muluk muluk mengenai  ‘manusia terpilih’ ini.

Perang panjang ini menjadikan Israel barai serta hilang masa depan politik, kehilangan kredibiliti moral serta nilai kepercayaan media, publik opini terhadap Israel hancur pada pandangan masyarakat Barat, bahkan pandangan umum dunia global sepakat mengatakan bahawa Israel tanpa dukungan Amerika akan hancur lebur dibaham HAMAS serta serangan Iran yang tidak mampu ditepis iron dome serta negara-negara Arab yang bersekutu dengannya.

Netanyahu pasti gagal menahan kemarahan domestik apatah lagi dengan penghijrahan skala besar rakyat dari negara haram itu.

Pasca isu Global Sumud Flotilla apabila keghairahan umat mengenai bumi Palestin, penulis melihat anak-anak muda generasi android serta kelompok non-partisan menyinis agar PAS  jangan ‘menunggang’ isu Palestin. Bagi mereka biarlah isu ini dipikul oleh gerakan sivil sahaja, orang politik jangan masuk campur isu ini. Sangat dangkal pemikiran anak muda kail sejengkal ini serta pembenci-pembenci PAS, mereka malas membaca, kurang mengkaji, malah terarah kepada emosi yang meledak-ledak tanpa arah.

Umat Islam Tanah Melayu dalam sejarahnya tidak menyepikan diri daripada isu bumi Israk ini. Pada tahun 1935, Dr Burhanuddin al-Helmy telah mendekam di penjara Palestin akibat menyertai bantahan terhadap British yang ingin mewujudkan sebuah negara haram buat orang Yahudi di tanah Palestin. Almarhum sekali lagi dipenjarakan oleh British di Singapura pada tahun 1937 kerana memprotes sikap British dalam isu Palestin dalam akhbar ‘Taman Bahagia’.

Hizbul Muslimin, ormas yang bertujuan menentang British dan menegakkan pemerintahan Islam di Tanah Melayu juga dalam himpunan mereka di Maahad Ehya as Sharif, Gunung Semanggol, Perak pada Mac 1948 telah mengemukakan usul menyelamatkan Palestin. Jawatankuasa menyelamatkan Palestin dipengerusikan oleh Dr Burhanuddin al-Helmy, menyiapkan memo bantahan kepada PBB dan juga menjalankan kempen menyelamatkan Baitul Maqdis.

PAS semenjak ditubuhkan pada tahun 1951, sentiasa memberikan kesedaran kepada rakyat untuk peka akan nasib Palestin. Dr Burhanuddin al-Helmy, sebagai ideologue PAS dalam tahun 1950-an dan 1960-an tidak pernah menyepikan isu Baitul Maqdis. Beliau menyebut dengan jelas dalam ucapan Dasar Yang DiPertua PAS, bagaimana kewujudan Israel adalah duri dalam daging kepada umat Islam di Asia Barat, bahkan kepada umat Islam di seluruh belahan dunia. Begitulah sejarah yang terakam dalam kepimpinan PAS, merasa berbahagi kepedihan dengan rakyat Palestin yang ditindas.

PAS menghantar pelbagai misi bantuan kepada umat Islam Palestin, mengadakan pelbagai seminar, wacana, diskusi intelektual dan forum bagi menyelamatkan Palestin. HAMAS menjadi teman baik PAS semenjak ditubuhkan pada tahun 1987 oleh Sheikh Ahmad Yasin, diundang ke Ijtimak Alami yang diadakan di Rusila pada tahun 1988. Dalam Parlimen, ahli-ahli legislatif PAS mengemukakan usul berkaitan nasib Palestin tanpa bosan sepanjang enam dekad ini.

Krisis yang berlaku di Asia Barat adalah usaha jahat Amerika dan Zionis untuk melakarkan peta berdarah baru bagi menggantikan Perjanjian Sykes Picot 1916. Makar ini sebenarnya bagi menjamin keutuhan dan keselamatan negara haram Israel bagi menguasai sepenuhnya sumber tenaga ’emas hitam’, termasuk menguasai laluan strategik perairan dan juga udara, Mereka obses dengan pelaburan dan monopoli pasaran Asia Barat.

Seluruh kekuatan umat sewajibnya dikerah untuk menggalang pelbagai bantuan untuk bumi Gaza, membantu umat Islam Palestin yang sedang berkubang darah mempertahankan masjid Al-Aqsa. Penduduk Gaza membayar harga yang mahal sekali apabila berjaya mengalihkan fokus Israel untuk membaiki imej serta reputasinya yang ranap di mata dunia. Kita mampu sama-sama membantu mereka dengan menderma, mengadakan bantahan awam, memboikot produk jaringan Zionis, menebarkan kepedulian dan terus berdoa.

Kesan paling ampuh Global Sumud Flotilla juga sangat ketara apabila negara-negara Arab yang kesipuan mula mengorak langkah lebih serius untuk membantu Gaza.

Penjarahan tanah Palestin akan berakhir apabila sebahagian besar negara-negara dalam dunia moden mengucilkan Israel terutamanya negara-negara Eropah. Bantahan awam di negara-negara Eropah akan menyebabkan konflik kerajaan versus rakyat, semua ini bakal menghempap bala kepada negara haram Zionis.

DR RIDUAN MOHAMAD NOR
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat
Pengerusi LESTARI – HARAKAHDAILY 12/10/2025

- Advertisement -