
KOTA BHARU: Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan menzahirkan harapan agar semua peruntukan dan inisiatif yang diumumkan menerusi Belanjawan 2026 benar-benar dilaksanakan sepenuhnya demi kesejahteraan rakyat negeri ini.
Katanya, sebagai salah satu negeri dalam Persekutuan Malaysia, setiap dasar dan agihan belanjawan yang dibentangkan oleh Perdana Menteri memberi kesan langsung kepada Kelantan, khususnya dari segi kebajikan rakyat dan pembangunan negeri.
“Kita sangat mengharapkan beberapa perkara positif yang dirancang melibatkan Kelantan dapat dilaksanakan sepenuhnya. Terima kasih diucapkan kepada PMX dengan beberapa langkah positif,” ujarnya.
Namun katanya lagi, beberapa perkara dan kebimbangan perlu diperhalusi bagi memastikan manfaat belanjawan itu sampai sepenuhnya kepada rakyat Kelantan.
Mengulas isu mitigasi banjir, beliau berkata peruntukan RM2.2 bilion bagi 43 projek tebatan banjir di seluruh negara termasuk projek Sungai Golok amat penting untuk melindungi penduduk serta kawasan pertanian di negeri ini.
“Kami mengharapkan projek Sungai Golok ini lebih diutamakan setanding dengan apa yang telah dilaksanakan oleh kerajaan Thailand,” katanya lagi.
Dalam aspek pertanian dan komuniti luar bandar, beliau menyambut baik peruntukan RM2.62 bilion subsidi serta RM1.1 bilion pembiayaan daripada Agrobank untuk mekanisasi pertanian bagi membantu petani kecil meningkatkan hasil.
“Kita berharap program pemulihan sawah terbiar dan naik taraf pengairan turut diberi perhatian di Kelantan. Kerajaan negeri sangat berharap untuk bekerjasama dengan semua agensi kerajaan Persekutuan sesuai dengan hasrat menjadikan Kelantan sebagai negeri jelapang makanan.
“Isu keselamatan makanan (‘food security’) adalah tanggungjawab global dan dalam konteks negara Malaysia, kita rasa bertanggungjawab untuk bersama menjayakannya,” ujarnya lagi.
Beliau turut menyambut baik peruntukan bagi pembinaan Loji Rawatan Air Machang dan RM3 bilion bagi program Air Tidak Berhasil (NRW) untuk mengganti paip lama.
Namun jelasnya, beberapa jajahan masih menghadapi masalah tekanan air rendah yang memerlukan penyelesaian jangka panjang.
“Menyediakan bekalan air bersih kepada rakyat adalah tanggungjawab bersama antara negeri dan persekutuan. Kita memerlukan peruntukan besar untuk memenuhi keperluan bekalan air bersih di Kelantan,” katanya.
Selain itu, beliau turut menekankan keperluan pembangunan infrastruktur luar bandar seperti jalan raya dan kemudahan asas yang dapat meningkatkan akses ekonomi serta kualiti hidup penduduk pedalaman.
“Lebuhraya Pantai Timur sehingga ke Kota Bharu hendaklah segera dilaksanakan. Begitu juga Central Spine Road (CSR) dari Gua Musang – Kuala Krai – Kota Bharu, biarlah dapat disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan.
“Tidak ada lagi penangguhan disebabkan kerenah kontraktor. Kita difahamkan pakej antara Kuala Lumpur – Kuala Lipis akan dapat digunakan sepenuhnya pada 2026,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut mengulas isu keseimbangan wilayah apabila Sabah dan Sarawak masing-masing menerima peruntukan pembangunan RM6.9 bilion dan RM6 bilion, manakala Kelantan tidak disenaraikan dengan jumlah setara.
“Kita berharap pengagihan pembangunan akan disemak semula agar negeri pantai timur, terutamanya Kelantan, turut menikmati keadilan fiskal dan peluang pertumbuhan yang sama,” katanya.
Beliau turut menyentuh tumpuan besar kerajaan terhadap sektor semikonduktor, digital dan AI dengan pelaburan melebihi RM1 bilion yang dilihat lebih tertumpu di Lembah Klang.
“Kelantan memerlukan pelan pelengkap seperti pusat latihan teknologi hijau dan AI bagi memastikan rakyat luar bandar turut terlibat dalam ekonomi masa depan,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 12/10/2025


















