Belanjawan 2026: Ilusi angka atau realiti derita?

Mohamed Sukri Omar
- Advertisement -

SHAH ALAM: Pemuda Perikatan Nasional (PN) Selangor menyifatkan Belanjawan 2026 yang dibentangkan kerajaan baru-baru ini hanya sekadar ilusi angka yang gagal menyentuh realiti penderitaan rakyat.

- Advertisement -

Ketua Pemudanya, Mohamed Sukri Omar, berkata jurang antara slogan Kerajaan Madani dan realiti ekonomi semakin ketara apabila belanjawan kali ini memperlihatkan kelemahan dalam tatakelola, peningkatan hutang serta kegagalan memperkasa ekonomi rakyat.

“Ucapan Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Hamzah Zainudin, menjadi suara kebangkitan rakyat yang terhimpit dengan tekanan kos sara hidup dan ketirisan urus tadbir.

“Gagasan Repair, Reignite & Relief bukan sekadar slogan, tetapi seruan memperbetulkan arah ekonomi negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menegaskan, rakyat semakin hilang kepercayaan terhadap slogan integriti kerajaan apabila skandal dan salah guna kuasa terus disembunyikan.

“Wujudnya ‘Rasputin Madani’ dan budaya kronisme membuktikan tatakelola kerajaan semakin menyimpang. “Apabila kepercayaan awam terhakis, ekonomi tidak akan berkembang,” katanya.

Mengulas angka belanjawan RM470 bilion, beliau berkata realitinya, hutang dan liabiliti kerajaan meningkat kepada RM1.69 trilion atau 84.1 peratus daripada KDNK.

“Hampir satu daripada lima ringgit hasil negara digunakan membayar faedah hutang. Ini bukan pembangunan, tetapi perangkap fiskal,” tegasnya.

Pemuda PN Selangor turut membantah penggunaan GLIC dan Petronas untuk membiayai projek tidak strategik seperti pengubahsuaian Carcosa Seri Negara bernilai RM600 juta.

“Dana rakyat mesti dikembalikan kepada mandat asal, menjana kekayaan jangka panjang, bukan menjadi tabung politik,” katanya.

Menurut Mohamed Sukri, lebih 70 peratus belanjawan digunakan bagi perbelanjaan mengurus dan pembayaran hutang, manakala pembangunan hanya sekitar RM81 bilion.

“Kita kini berbelanja untuk bertahan, bukan berkembang. Fokus harus diberikan kepada sektor berimpak tinggi seperti pendidikan, kesihatan dan pekerjaan berkemahiran,” katanya.

Beliau turut menegur pelaksanaan dasar pendidikan dan TVET yang masih tidak selaras dengan keperluan industri serta menggesa kerajaan memperkukuh peluang mobiliti sosial rakyat.

“PN mencadangkan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) sehingga RM6,000 setahun bagi membantu rakyat secara realistik. Bantuan ini bukan sekadar ihsan, tetapi mengembalikan maruah rakyat,” katanya.

Mohamed Sukri menegaskan masa depan negara perlu dibina atas asas keadilan dan integriti.

“Kerajaan boleh menulis laporan ekonomi, tetapi rakyat yang menulis sejarah,” ujarnya.

Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan Belanjawan 2026 dengan memperuntukkan RM470 bilion untuk Belanjawan 2026, dengan peruntukan RM338.2 bilion untuk perbelanjaan mengurus, dan RM81 bilion untuk perbelanjaan pembangunan. – HARAKAHDAILY 13/10/2026

- Advertisement -