Rogol: KPM wajar teliti Dasar Pendidikan Negara

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kejadian tragis jenayah keji yang melibatkan pelajar sekolah baru-baru ini, bukanlah kes terpencil, tetapi ia menunjukkan sistem pendidikan negara kini berada dalam krisis nilai dan moral yang amat membimbangkan, demikian tegas Ustazah Nuridah Mohd Salleh.

- Advertisement -

Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) itu juga berkata, fokus pendidikan kini yang terlalu menekankan pencapaian akademik telah mengabaikan aspek pembinaan akhlak, sahsiah dan tanggungjawab sosial dalam kalangan pelajar.

Sehingga katanya kejadian meragut maruah dan masa depan insan tidak berdosa melibatkan pelajar sekolah, boleh terjadi.

“DMPP memandang serius akan insiden ini malah lebih memilukan perbuatan itu dilakukan tanpa rasa bersalah, malah dirakam seolah-olah menjadi bahan hiburan.

“Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu melakukan kajian menyeluruh terhadap dasar pendidikan, termasuk menilai semula keberkesanan Pendidikan Islam, Pendidikan Moral dan program sahsiah khususnya di sekolah-sekolah KPM sendiri,” tegas beliau dalam kenyataannya, di sini.

Selain itu tambah beliau, latihan khas kepada guru bimbingan dan kaunseling mesti diperhebatkan lagi, bagi menangani gejala sosial dan mental dalam kalangan pelajar secara proaktif, bukan sekadar reaktif selepas kejadian berlaku.

Terdahulu, empat pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini, telah ditahan reman selama enam hari kerana disyaki terlibat dengan kejadian rogol seorang pelajar perempuan secara bergilir-gilir di sebuah sekolah di Melaka.

Kesemua suspek berusia 17 tahun dikatakan melakukan perbuatan tidak bermoral terhadap mangsa berumur 15 tahun, sekitar jam 2.50 petang pada 2 Oktober lalu di dalam kelas di sebuah sekolah di Alor Gajah, dan perbuatan tersebut dirakam menggunakan telefon bimbit oleh dua daripada suspek berkenaan.

Justeru kata Nuridah, pihak sekolah dan ibu bapa perlu bekerjasama rapat memantau tingkah laku anak-anak, termasuk aktiviti media sosial yang kini menjadi ruang subur budaya yang merosakkan nilai kemanusiaan.

“Kerajaan juga perlu memperkukuh pendidikan berasaskan nilai Islam dan moral sejagat dalam semua aliran sekolah.

“Setiap anak dilahirkan suci dan berpotensi menjadi insan yang baik. Namun, apabila sistem dan persekitaran gagal membimbing mereka, maka rosaklah generasi yang sepatutnya menjadi pemimpin masa hadapan,” tambahnya lagi.

Oleh itu, beliau menyeru agar krisis disiplin ini perlu diberi perhatian serius oleh kerajaan sebagai isu keselamatan nasional, bukan sekadar isu sekolah.

Selain itu tindakan pantas, tegas dan berasaskan nilai amat diperlukan sebelum gelombang keruntuhan moral yang makin menakutkan ini menghilangkan nilai dan adab murni pada seluruh generasi negara. – HARAKAHDAILY 13/10/2025

- Advertisement -