Sistem pendidikan gagal, hancur masa depan generasi

Kemerosotan akhlak di sekolah semakin membimbangkan

- Advertisement -

AYER KEROH: Ketua Pembangkang Negeri Melaka, Dr Mohd Yadzil Yaakub, menyifatkan kejadian pelajar perempuan yang dipercayai dirogol secara bergilir-gilir oleh beberapa pelajar senior sebagai satu petanda jelas kemerosotan akhlak semakin membimbangkan di sekolah.

Beliau berkata, kejadian yang dilaporkan oleh sebuah akhbar tempatan itu bukan sahaja mencemarkan imej institusi pendidikan, malah menzahirkan keruntuhan nilai moral semakin parah dalam kalangan pelajar sekolah.

Menurutnya, kejadian seumpama itu bukan lagi terpencil, sebaliknya kini menjadi gejala berulang yang merangkumi kes buli, pergaduhan, penyalahgunaan dadah dan jenayah seksual.

“Ia semua menuntut perhatian serius daripada pihak kerajaan negeri dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM),” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bemban dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, pendidikan bukan sekadar mengejar keputusan peperiksaan semata-mata, tetapi juga membentuk insan berakhlak dan berjiwa ihsan.

“Soalnya, di manakah peranan pendidikan agama dan moral dalam membina sahsiah pelajar? Adakah nilai-nilai murni yang diajar di sekolah hanya tinggal sebagai teori di atas kertas tanpa penghayatan sebenar dalam diri pelajar?” soalnya.

Sehubungan itu, Dr Mohd Yadzil mendesak Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Negeri Melaka serta kerajaan negeri tampil menjelaskan beberapa perkara.

Antaranya kata beliau, menyatakan langkah konkrit yang sedang dan akan diambil untuk menangani peningkatan kes-kes buli dan salah laku moral di sekolah-sekolah negeri ini.

Beliau turut mempersoalkan sama ada kerajaan negeri mempunyai pelan khusus untuk memperkukuh pendidikan agama dan pembangunan akhlak di peringkat sekolah menengah, termasuk melalui pendekatan bimbingan rohani dan psikologi pelajar.

“Kerajaan negeri juga perlu menjelaskan bentuk kerjasama antara Jabatan Pendidikan Negeri, Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dan pihak kaunseling sekolah bagi mencegah kejadian seperti ini daripada berulang,” desaknya.

Tegasnya, kerajaan tidak boleh terus berdiam diri seolah-olah perkara ini adalah kes terpencil, sebaliknya perlu melihatnya sebagai krisis moral generasi muda yang mesti ditangani secara serius, bersepadu dan berterusan.

“Setiap kali tragedi berlaku, kita hanya mendengar janji siasatan, tetapi tiada pelan pencegahan menyeluruh,” tempelaknya.

Sebagai Ketua Pembangkang, beliau menyeru kerajaan negeri agar segera memanggil mesyuarat khas bersama semua pihak berkaitan termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta badan keagamaan bagi mencari penyelesaian jangka panjang terhadap kemerosotan akhlak pelajar.

“Masa depan anak-anak kita tidak boleh dibiarkan hancur hanya kerana kelalaian sistem yang gagal mendidik hati dan jiwa,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/10/2025

- Advertisement -
- Advertisement -