
SHAH ALAM: Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor mendesak Kerajaan Negeri Selangor mengharamkan secara total penggunaan rokok elektronik atau vape di negeri ini.
Naib Ketua Pemuda PAS Selangor, Mohd Faizzuddin Mohd Zai berkata, Selangor patut mencontohi negeri-negeri yang telah mengharamkan vape seperti Kelantan selaku negeri pertama menguatkuasakan larangan penjualan vape dan shisha sejak 2015.
Jelasnya, Perlis dan Terengganu juga mengambil keputusan melarang penjualan produk tersebut pada 1 Ogos 2025, manakala Kedah akan menghentikan operasi jualan vape menjelang Disember tahun ini.
Beliau berkata, kerajaan negeri sebenarnya berkuasa penuh terhadap larangan penjualan vape kerana mempunyai kuasa untuk memberi lesen kebenaran penjualannya.
“Namun, kenyataan Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin, yang mencadangkan agar hasil cukai jualan vape disalurkan kepada kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan sangat mengecewakan rakyat Selangor,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Mohd Faizzuddin berkata, sikap sedemikian menimbulkan persoalan terhadap keprihatinan kerajaan negeri dalam menjaga taraf kesihatan awam, khususnya dalam melindungi anak muda dan pelajar sekolah daripada ancaman vape.
“Adakah kerajaan pimpinan Dato’ Seri Amirudin mahu membentuk pelapis masa depan yang terjejas kesihatan mereka? Jika benar, ini adalah suatu siri pengkhianatan terhadap anak muda,” tegasnya.
Beliau berkata, vape memberi kesan jangka panjang terhadap kesihatan dan telah dikaitkan dengan penyakit E-cigarette or Vaping Product Use-Associated Lung Injury (EVALI) yang boleh menyebabkan kerosakan paru-paru kekal serta membawa maut.
Tambahnya, Kementerian Kesihatan (KKM) memberi amaran bahawa kos rawatan penyakit EVALI akibat vape dijangka meningkat hingga RM369 juta setahun menjelang 2030, manakala setakat ini rawatan EVALI menelan kos RM150,892.11 bagi setiap pesakit selama 12 hari di hospital.
“Berbaloikah kerajaan mendapatkan hasil dengan cara menjahanamkan kesihatan rakyat?” soal Mohd Faizzuddin yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja Pemuda PAS Malaysia.
Beliau juga menegaskan kenyataan Exco Kesihatan Awam itu bercanggah dengan pendirian Menteri Besar yang sebelum ini pernah menyatakan hasrat untuk melaksanakan larangan penjualan vape di negeri ini.
Jelasnya, percanggahan dasar seperti itu mengelirukan rakyat dan memberi gambaran bahawa kerajaan negeri tidak tegas dalam menjaga kesihatan awam serta seolah-olah tiada kesefahaman dalam melaksanakan dasar.
“Maka, Dewan Pemuda PAS Selangor sekali lagi mendesak Kerajaan Negeri Selangor untuk mengharamkan penjualan vape secara serta-merta.
“Nyawa dan masa depan generasi muda jauh lebih berharga daripada hasil cukai sementara. Selangor mesti menjadi negeri contoh dalam memperjuangkan kesihatan awam, bukan tunduk kepada tekanan industri atau kepentingan ekonomi sempit,” katanya.
Mohd Faizzuddin berkata, kerajaan negeri perlu bertanggungjawab memilih untuk melindungi rakyat, bukan menagih hasil daripada ketagihan. – HARAKAHDAILY 13/10/2025











