Dua guru satu kelas: Reformasi atau beban baharu?

- Advertisement -

Langkah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memperkenalkan dasar dua guru dalam satu kelas bermula sesi 2027 menimbulkan pelbagai persoalan tentang hala tuju sebenar reformasi pendidikan negara.

- Advertisement -

Meskipun niatnya dilihat baik untuk menjadikan pengajaran dan pembelajaran lebih interaktif serta mengatasi masalah keciciran murid, hakikatnya banyak isu asas dalam dunia pendidikan masih belum selesai.

Kita masih berhadapan dengan isu bebanan tugas guru yang semakin berat, guru terpaksa melakukan kerja pentadbiran yang sepatutnya bukan tanggungjawab mereka.

Isu buli di sekolah masih berlarutan, pelajar berani membuli rakan bahkan ada yang membuli guru sendiri.

Ibu bapa pula kini semakin agresif, ada yang menyaman guru hanya kerana mendenda atau menegur anak mereka.

Dalam keadaan sistem yang belum stabil ini, apakah wajar satu lagi dasar baharu diperkenalkan tanpa penyelesaian tuntas terhadap masalah sedia ada?

Dua guru satu kelas bukan idea baharu.

Ia pernah diamalkan di beberapa negara maju dengan pelbagai cabaran, antaranya perbezaan gaya mengajar, kekangan bajet dan keperluan latihan intensif agar kedua-dua guru dapat bekerjasama secara berkesan.

Namun di Malaysia, isu kekurangan guru pun belum selesai, bagaimana mungkin sistem ini mampu dilaksanakan dengan jayanya dalam tempoh dua tahun lagi?

KPM seharusnya menyelesaikan akar masalah dahulu, selesaikan bebanan guru, kukuhkan semula disiplin pelajar, tingkatkan sokongan psikologi dan latihan profesional kepada pendidik.

Bukannya terus mencipta dasar baharu tanpa pelan pelaksanaan yang kukuh.

Niat memperkukuh sistem pendidikan itu baik tetapi pelaksanaan yang tergesa-gesa boleh menimbulkan lebih banyak kekeliruan.

Jika tidak diperhalusi, dasar dua guru satu kelas ini bukan sahaja tidak membantu, malah boleh menjadi satu lagi beban tambahan kepada guru, sekolah dan akhirnya kepada murid itu sendiri.

Pendidikan bukan ruang untuk bereksperimen. Ia soal masa depan negara.

Dan setiap dasar yang dibina mesti disandarkan kepada realiti, bukan sekadar retorik reformasi. – HARAKAHDAILY 8/11/2025

- Advertisement -