
PARIT: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) disaran untuk memperketatkan garis panduan bagi penganjuran sebarang program di sekolah, bagi memastikan institusi pendidikan bebas daripada pengaruh politik kepartian.
Gesaan ini dibuat susulan tularnya sebuah video yang menunjukkan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak, Woo Kah Leong, menyalurkan mesej yang disifatkan sebagai propaganda politik kepada pelajar di dalam sebuah premis sekolah.
Woo, yang juga merupakan Ketua Pemuda DAP Kebangsaan, dilihat mempromosikan parti tersebut semasa bertemu dengan para pelajar di sekolah berkenaan.
Justeru, Ketua Muslimat PAS Negeri Perak, Dr Najihatussalehah Ahmad, membantah keras tindakan tersebut dan menyifatkannya sebagai ‘tidak bertanggungjawab’.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota menegaskan bahawa sekolah ialah institusi untuk membina akhlak dan ilmu, bukannya gelanggang untuk menanam pengaruh atau ideologi parti.
”Tindakan biadap sebegini bukan sahaja menyalahi prinsip profesionalisme pendidikan dan mencemarkan kesucian institusi pendidikan.
“Malah, ia menunjukkan betapa terdesaknya segelintir pemimpin kerajaan yang sanggup memperalatkan pelajar demi kepentingan politik sendiri,” katanya.
Sehubungan itu, Dewan Muslimat PAS Perak mendesak agar Kerajaan Negeri Perak dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) menjalankan siasatan menyeluruh berhubung bagaimana program tersebut boleh diluluskan di kawasan sekolah.
Pihaknya turut menuntut penjelasan terbuka dan permohonan maaf daripada mereka yang terlibat.
”Kami mengingatkan bahawa mencemari sekolah dengan agenda politik hanyalah tanda kegagalan membezakan antara kuasa dan tanggungjawab,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 29/10/2025




















