
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff menegaskan bahawa kegagalan sistem pendidikan pada masa kini menjadi antara punca utama keruntuhan akhlak dalam kalangan pelajar.
Susulan kejadian seorang pelajar Tingkatan Tiga yang dirogol secara bergilir-gilir, beliau mendesak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk segera memberikan penjelasan berhubung insiden tragis tersebut.
Beliau yang juga merupakan Ketua Muslimat PAS Kelantan, memandang serius kejadian itu dan menegaskan bahawa KPM serta PDRM mesti mengambil tindakan tegas terhadap pelaku yang disifatkan sebagai tidak berperikemanusiaan.
Lebih memalukan, tegasnya, kejadian tersebut bukan sahaja dirakam menggunakan telefon bimbit, malah turut disaksikan oleh dua orang pelajar lain tanpa sebarang tindakan bagi menghalang perbuatan jenayah itu.
“Perbuatan ini sangat menjijikkan. Bagaimana kejadian sekejam ini boleh berlaku di dalam bilik darjah, malah ketika waktu persekolahan?” tegas beliau.
Menurut beliau, sebelum ini rakyat turut dikejutkan dengan berita kematian seorang pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir, di Papar, Sabah dan kes berkenaan masih dalam siasatan pihak berkuasa.
“Hari ini, satu lagi berita menyedihkan melibatkan seorang pelajar yang menjadi mangsa rogol bergilir-gilir.
“Sudah tentu kejadian ini meninggalkan kesan trauma yang mendalam kepada mangsa,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa para pelajar merupakan harapan negara dan bakal menjadi pelapis kepimpinan pada masa hadapan.
“Jika sistem pendidikan hari ini gagal mendidik mereka untuk menjadi insan berguna, maka masa depan generasi akan datang amat membimbangkan,” ujarnya lagi.
Menurut laporan media, kejadian tersebut dilakukan oleh dua pelajar senior sekitar jam 2.50 petang pada minggu lalu. –HARAKAHDAILY 11/10/2025




















