Belanjawan 2026: Kerajaan ‘anak tirikan’ penoreh

- Advertisement -

​PADANG TERAP:  Nasib penoreh getah negara dianak tirikan apabila Belanjawan 2026 yang dibentangkan semalam gagal membela golongan tersebut, malah disifatkan sebagai belanjawan ‘suram’ dan paling mengecewakan.

- Advertisement -

​Ahli Parlimen Padang Terap, Ustaz Nurul Amin Hamid berkata, sikap kerajaan yang dilihat tidak bersungguh-sungguh membantu penoreh, sebaliknya membiarkan mereka terus terhimpit dengan kos sara hidup yang menggila dan harga komoditi yang tidak menentu.

​Menurut beliau, lebih malang lagi, janji yang pernah diuar-uarkan oleh RISDA untuk menaikkan harga getah sekerap kepada RM5.00 sekilogram kini kelihatan hanyalah retorik politik apabila tiada sebarang peruntukan atau pelan pelaksanaan konkrit diumumkan dalam belanjawan tersebut.

​“Ini menimbulkan persoalan sama ada janji tersebut sekadar retorik atau benar-benar dibawa ke meja kabinet untuk diluluskan.

“Penoreh memerlukan tindakan nyata, bukan hanya kenyataan media atau pelancaran kempen semata-mata,” katanya.

​Nurul Amin turut mempertikaikan keadilan sosial kerajaan apabila Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) untuk penoreh yang kekal pada kadar lama, sedangkan penjawat awam pula beroleh penstrukturan semula dan kenaikan gaji.

​“Ini memperlihatkan jurang keadilan sosial yang semakin melebar antara sektor awam dan rakyat kecil luar bandar,” ujarnya.

​Tambah beliau, kerajaan seolah-olah buta terhadap rintihan penoreh yang kini terpaksa meneruskan hidup dengan pendapatan hasil getah sekerap sekitar RM2.70 hingga RM3.00 sekilogram, satu kadar yang langsung tidak munasabah.

​“Kerajaan seolah-olah tidak menyedari bahawa setiap sen daripada hasil getah itulah yang digunakan untuk membayar bil elektrik, petrol motosikal ke kebun dan yuran sekolah anak-anak,” katanya.

​Mengulas lanjut, beliau turut menggesa Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) agar tidak lagi berlengah dan segera mempercepatkan penghantaran kertas cadangan kenaikan harga getah kepada kabinet untuk diluluskan.

​“Belanjawan 2026 secara keseluruhannya memperlihatkan kerajaan lebih banyak mengekalkan angka lama berbanding membawa pembaharuan berani untuk rakyat desa.

​“Sekiranya kerajaan benar-benar ingin memartabatkan ekonomi luar bandar, harga getah mesti dijadikan isu nasional, bukan bermusim,” katanya.

​Sebagai wakil rakyat, beliau berikrar akan terus mendesak kerajaan agar isu penyelarasan harga getah dan nasib penoreh diberi perhatian serius dalam dasar negara. – HARAKAHDAILY 11/10/2025

- Advertisement -