Belanjawan 2026 masih pinggirkan negeri Pantai Timur

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Belanjawan 2026 disifatkan tidak seimbang apabila peningkatan peruntukan bagi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hanya mencatatkan kenaikan 2.7 peratus atau bersamaan RM1.25 bilion berbanding tahun sebelumnya, sedangkan kos ubat-ubatan dan peralatan perubatan meningkat sehingga 17 peratus.

- Advertisement -

Dato’ Dr Alias Razak (PN–Kuala Nerus) berkata, kenaikan itu tidak mampu menampung keperluan asas dalam memperkukuh sistem kesihatan negara yang kini berdepan tekanan tinggi termasuk kekurangan stok ubat, kerosakan peralatan serta tempoh menunggu pesakit semakin panjang.

“Situasi ini turut memberi tekanan besar kepada petugas kesihatan dan menjejaskan mutu perkhidmatan, terutama kepada rakyat luar bandar di Pantai Timur yang bergantung sepenuhnya kepada hospital kerajaan,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau memberi contoh insiden di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu, apabila bayi dalam keadaan tenat terpaksa dirujuk ke Hospital Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Kuantan kerana kekurangan mesin neonatal ventilator, menyebabkan pesakit perlu menempuh perjalanan tiga jam untuk rawatan kritikal.

Dalam pada itu, Dr Alias menyambut baik langkah kerajaan menaikkan cukai rokok dan tembakau sebagai usaha kesihatan awam dan tanggungjawab fiskal negara, namun menegaskan pelaksanaannya mesti disertai kawalan berkesan bagi mengekang penyeludupan.

“Setiap kali cukai rokok dinaikkan, kadar penyeludupan turut meningkat. Ini bukan sahaja menjejaskan hasil negara, malah mendedahkan rakyat kepada produk lebih berbahaya,” katanya.

Beliau sehubungan itu turut mempersoalkan pelan taktikal kerajaan bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dalam memperketatkan kawalan sempadan.

Dr Alias juga menzahirkan kebimbangan terhadap peningkatan pasaran gelap vape serta ketiadaan peruntukan tambahan kepada agensi penguat kuasa dalam Belanjawan 2026.

Beliau turut membangkitkan isu pemakanan kanak-kanak apabila data menunjukkan 16.1 peratus kanak-kanak bawah lima tahun mengalami bantut, manakala 16 peratus lagi berdepan masalah obesiti.

Beliau mencadangkan kerajaan memperkenalkan program bantuan makanan sihat untuk kanak-kanak berumur 0 hingga 3 tahun di mana dianggarkan menelan kos RM2.4 bilion setahun, jauh lebih kecil berbanding kos rawatan penyakit akibat kekurangan zat dan obesiti yang mencecah RM34.8 bilion.

“Namun, cadangan ini tidak dimasukkan dalam Belanjawan 2026 termasuk isu subsidi gula yang masih diteruskan meskipun kadar penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti diabetes semakin meningkat,” katanya.

Dalam aspek pembangunan wilayah, beliau menyifatkan kerajaan tidak adil apabila negeri-negeri maju terus menerima projek mega, manakala negeri Pantai Timur seperti Terengganu dan Kelantan hanya memperoleh projek berskala kecil.

Sebagai contoh, katanya, projek LRT Mutiara Line di Pulau Pinang bernilai RM17 bilion diberi keutamaan, sedangkan projek Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) Fasa 3 bernilai RM9.8 bilion masih belum dimuktamadkan walaupun kajian awal siap sejak 2022.

“RM17 bilion untuk negeri yang sudah maju, tetapi RM9 bilion pun tidak diluluskan untuk dua negeri miskin dan tertinggal. Di mana keutamaan kerajaan?” soalnya.

Dr Alias turut mempersoalkan kelulusan dana besar kepada Pulau Pinang meskipun projek terowong dasar laut negeri itu pernah terpalit dengan isu rasuah, sambil menyokong cadangan agar peruntukan LRT dialihkan kepada LPT3 demi keseimbangan pembangunan nasional.

Dalam pada itu, beliau berkata, Terengganu yang memiliki lebih tujuh juta tan metrik sumber nadir bumi (REE) — terbesar di Malaysia — belum dimanfaatkan sepenuhnya akibat kekurangan pelabuhan dan pelaburan hiliran.

“Pelabuhan Kemaman mempunyai kedalaman semula jadi lebih 16 meter dan sesuai dijadikan hab eksport REE serta industri berat. Namun, kerajaan masih belum menonjolkan strategi jelas untuk membangunkan potensi ini,” katanya.

Beliau turut mencadangkan kerajaan memperkukuhkan infrastruktur pelancongan di Terengganu memandangkan negeri itu berpotensi besar menarik pelancong tempatan dan antarabangsa melalui keindahan pantai, warisan serta ekopelancongan.  – HARAKAHDAILY 17/10/2025

- Advertisement -