
KUALA LUMPUR: Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN–Kubang Kerian) menggesa ASEAN melakukan reformasi besar-besaran bagi memperkukuh kerjasama serantau dan memastikan rantau ini kekal aman serta stabil.
Beliau berkata, selepas lebih enam dekad penubuhannya, ASEAN perlu melangkah ke fasa baharu dengan membentuk mekanisme penyatuan yang lebih berkesan, seperti mana dilaksanakan oleh Kesatuan Eropah (EU).
“Jika EU boleh wujudkan satu mekanisme bagi menggabungkan kekuatan yang ada di kalangan negara-negara Eropah, saya fikir rantau ASEAN juga harus ke arah itu.
“Saya fikir sudah sampai masanya ASEAN mengadakan reformasi besar supaya lebih komprehensif dan dekat,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat, di sini semalam.
Menurut beliau, ASEAN kini berdepan tekanan geopolitik akibat persaingan antara kuasa besar dunia seperti China, Amerika Syarikat dan Russia, yang boleh mengancam keselamatan serta kestabilan rantau ini.
“Lantaran itu ASEAN sepatutnya mewujudkan satu kesatuan menjamin keselamatan rantau ini. Sebagai contoh tidak perlu dibenarkan mana-mana kuasa besar membina pangkalan tentera asing di rantau ASEAN supaya rantau ini lebih selamat daripada pihak-pihak tertentu,” katanya.
Dalam pada itu, Tuan Ibrahim turut mencadangkan supaya ASEAN mempertimbangkan penggunaan satu mata wang serantau bagi memperkukuh daya tahan ekonomi dan mengurangkan kebergantungan terhadap dolar Amerika.
“Kalau EU boleh menggunakan satu mata wang. Saya fikir ASEAN perlu bergerak ke arah lebih dinamik bagi membina satu gabungan yang lebih berkesan ke arah membina rantau kita menjadi rantau yang aman stabil.
“(Juga menjadi rantau yang) tidak terganggu gugat dengan situasi yang sama ada di rantau Asia Tengah ataupun apa yang berlaku di kawasan rantau ASEAN ini,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai kehadiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump ke Malaysia, Tuan Ibrahim yang juga Timbalan Presiden PAS berkata, parti beliau tegas menolak kedatangan tersebut.
“Kita menentang keras, kehadiran mereka dan kita sudah isytihar bahawa kita akan adakan satu himpunan rakyat, demonstrasi besar-besaran bagi membantah kehadiran Trump.
“(Trump) yang dianggap sebagai penjenayah yang bunuh dan menghantar senjata kepada Israel menyokong keganasan Israel yang berlaku,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/10/2025














