Masa depan Sabah: Keharmonian dan keadilan

- Advertisement -

SABAH bukan sekadar negeri di hujung timur tanah air. Negeri ini dihiasi wajah manusia dari ratusan suku dan etnik yang hidup berdampingan di bawah bayangan Gunung Kinabalu dan deru ombak Laut Sulu.

- Advertisement -

Di negeri ini, setiap warna kulit, setiap bahasa dan dialek, setiap adat dan kepercayaan berpadu membentuk satu mozek kemanusiaan yang menakjubkan. Inilah kekayaan sebenar Sabah, bukan pada hasil buminya semata-mata, tetapi pada keharmonian insan-insan yang memilih untuk hidup saling memahami dan menghormati.

Islam mengajar kita bahawa manusia diciptakan berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar saling kenal-mengenal, bukan saling curiga dan meminggirkan. Keharmonian bukan sekadar duduk bersebelahan dalam majlis, tetapi hidup dengan rasa saling percaya, saling menghormati dan saling mengangkat martabat satu sama lain.

Namun, keharmonian yang sempurna tidak akan lahir tanpa keadilan yang sebenar. Kerana keharmonian tanpa keadilan hanyalah ketenangan yang palsu; diam di permukaan tetapi retak di dalam hati rakyatnya.

Keadilan yang sebenar bermakna setiap insan memperoleh hak yang sewajarnya, tanpa melihat nama kaum, suku atau daerah asalnya. Ia bukan soal memberi sama banyak kepada semua, tetapi memberi seadil-adilnya mengikut keperluan dan tanggungjawab.

Jika bandar dan kota membangun megah dengan jalan raya yang selesa, maka kampung di pedalaman juga wajar merasai nikmat asas; air bersih yang mengalir, sekolah yang selamat, klinik yang dekat dan jalan yang memudahkan.

Keadilan ialah apabila tiada yang terpinggir hanya kerana mereka jauh dari pusat kuasa. Sabah akan mencapai keharmonian yang sempurna apabila tiada lagi anak kecil yang terpaksa berjalan berjam-jam untuk ke sekolah, tiada lagi keluarga yang hidup dalam gelap kerana tiada bekalan elektrik dan tiada lagi suku yang berasa mereka dilupakan oleh tanah air sendiri.

Untuk merealisasikannya, pemimpin mesti benar-benar berjiwa rakyat. Pemimpin yang tidak tergamak hidup selesa sementara rakyat menderita. Pemimpin yang tidak hanya turun ke kampung untuk berpoligam (politik gambar), tetapi benar-benar mendengar denyut nadi rakyat di tanah lumpur dan jalan berbatu.

Sabah tidak perlukan pemimpin yang berpura-pura memahami kesusahan, tetapi pemimpin yang telah merasainya, yang tahu bagaimana rasanya membina harapan dari keringat sendiri, yang pernah merasa pedihnya kekurangan dan manisnya perjuangan.

Sabah perlukan pemimpin yang bangun bersama rakyat, bukan berdiri di atas mereka. Pemimpin yang melihat kuasa bukan sebagai hak untuk menikmati kemewahan, tetapi sebagai amanah untuk menegakkan keadilan. Kerana keharmonian bukan datang dari kata-kata manis di pentas, tetapi dari dasar yang adil, kepimpinan yang jujur dan hati rakyat yang bersatu.

Apabila keadilan dan kesaksaaman menjadi dasar pembangunan maka keharmonian tumbuh seperti pohon di tanah yang subur, berakar pada kasih sayang, berdaun pada kepercayaan dan berbuah pada kemakmuran bersama.

Dalam setiap ucapan, saya sering tegaskan, apabila selesai pilihan raya dan pemimpin telah dipilih oleh rakyat, maka sudah tidak ada lagi bendera parti, tidak ada lagi warna yang memisahkan kita. Yang tinggal hanyalah tanggungjawab. Siapa pun rakyat yang memerlukan bantuan, mereka mesti dibantu. Inilah makna sebenar keadilan dan kepimpinan beramanah. Kerana selepas pilihan raya, kita bukan lagi wakil parti, kita adalah wakil rakyat, seluruh rakyat.

Masa depan Sabah hanya akan bersinar jika kita semua, tanpa mengira suku, agama atau bahasa, berdiri di bawah satu payung besar, payung keadilan dan keharmonian. Kerana keadilan adalah nyawa kepada keamanan dan keharmonian adalah wajah sebenar kemakmuran.

Dan di negeri ini, dari Karambunai Sepanggar hingga ke Sungai Sibuga Sandakan, dari Pantai Manis Papar hingga ke Balung Tawau; biarlah suara rakyat Sabah berdiri tegak menyatakan: Cukuplah janji kosong, cukup sudah ketidakseimbangan. Kini tiba masanya kita menulis semula masa depan Sabah dengan tangan sendiri.

Bangkitlah anak-anak Sabah, bangkit dengan ilmu, dengan iman, dengan tekad yang jernih. Jangan biarkan generasi kita menjadi penonton kepada negeri yang kaya tetapi dikuasai oleh segelintir yang rakus.

Kerana masa depan Sabah bukan milik mereka yang bersuara lantang berjanji kosong di atas pentas, tetapi milik mereka yang bekerja demi kebenaran. Milik mereka yang mencintai tanah ini dengan hati yang bersih dan percaya bahawa keharmonian dan keadilan bukan sekadar impian tetapi takdir yang wajib diperjuangkan. – HARAKAHDAILY 16/10/2025

- Advertisement -