Rafizi sedang cari pelampung untuk terus timbul

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kenyataan sinis Dato’ Seri Mohd Rafizi Ramli terhadap cadangan penggunaan mata wang Dinar oleh Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dilihat sebagai cubaan terdesak mencari pelampung politik untuk terus timbul.

- Advertisement -

Pengarah Jabatan Kajian dan Polisi, Lajnah Penerangan PAS Pusat, Ir Ts Dr Nurul Islam Mohamed Yusoff berkata, sindiran Rafizi itu memperlihatkan betapa ceteknya pemahaman beliau terhadap sejarah kerjasama ekonomi dunia Islam.

Bekas Menteri Ekonomi itu sebelum ini menyindir Ahli Parlimen Marang ketika sesi Parlimen, kononnya idea menggantikan Dolar Amerika (USD) dengan Dinar hanyalah ‘bunyi sedap di warung-warung kopi’.

Beliau turut mempersoalkan tempoh Tuan Guru sebagai Duta Khas ke Timur Tengah dan mendakwa tiada hasil kerjasama ekonomi semasa beliau menjawat jawatan tersebut.

Hakikatnya ujar Dr Nurul Islam, sindiran itu langsung tidak berasas kerana cadangan Tuan Guru bersandarkan pengalaman luas beliau berinteraksi dengan pimpinan dunia Islam serta sejarah panjang usaha ke arah memperkukuh ekonomi umat.

Ketika era Tun Dr Mahathir Mohamad katanya, telah wujud pakatan D8 yang diasaskan oleh Presiden Turkiye ketika itu, Prof Necmettin Erbakan, dan dianggotai oleh Bangladesh, Mesir, Indonesia, Iran, Malaysia, Nigeria, Pakistan dan Turkiye.

Antara matlamat besar D8 ialah membina kerjasama ekonomi berasaskan prinsip Islam, termasuk memperkenalkan mata wang Dinar emas sebagai instrumen perdagangan antara negara Islam.

“Cadangan ini bukan perkara baharu. Ia pernah disokong oleh Tun Dr Mahathir sendiri serta pemimpin Islam lain yang menolak dominasi USD sebagai alat penindasan ekonomi Barat,” jelasnya.

Tambah beliau, Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim sendiri pada tahun 2023 pernah menyatakan di Parlimen bahawa kerajaan akan mempertimbangkan cadangan menjadikan Dinar sebagai rizab negara.

“Maknanya, apa yang disebut oleh Tuan Guru Abdul Hadi hanyalah kesinambungan kepada usaha besar yang telah lama dibincangkan di peringkat dunia Islam. Ia bukan sembang warung kopi seperti yang ditohmah Rafizi,” tegas beliau.

Menurut Dr Nurul Islam, apa yang lebih layak digelar ‘idea warung kopi’ sebenarnya ialah projek Pangkalan Data Utama (PADU) yang dicanang Rafizi sendiri iaitu sistem pangkalan data bernilai RM85 juta yang kini tidak digunakan sepenuhnya dalam pentadbiran kerajaan.

“Menteri Kewangan II pun sudah mengakui bahawa penyesaran subsidi BUDI95 tidak menggunakan PADU sepenuhnya.

“Dulu masa Rafizi Menteri, dia gah umum PADU konon nak jadi tulang belakang reformasi subsidi, tapi kini PADU pun dah hilang dari radar Kerajaan Madani

“Kalau dulu PADU konon nak kukuhkan data rakyat, sekarang PADU dah jadi sembang kari Kerajaan Madani,” bidas beliau yang juga Ketua Penerangan PAS Kawasan Shah Alam.

Dr Nurul Islam menjelaskan, serangan Rafizi terhadap Presiden PAS tidak lebih sekadar usaha mencari perhatian politik selepas popularitinya merudum bersama kegagalan idea-idea besar yang tidak menjadi.

“Rafizi tahu pengaruh dan kewibawaan Tuan Guru Haji Hadi makin besar di dalam dan luar Parlimen. Jadi dia cuba timbul dengan cara menyerang, walhal rakyat semakin bijak menilai siapa bercakap berdasarkan ilmu dan siapa hanya mencari pelampung,” katanya lagi.

Beliau menegaskan, cadangan penggunaan Dinar bukan retorik tetapi visi ekonomi jangka panjang yang mampu menyatukan kekuatan ekonomi negara-negara Islam dan mengurangkan kebergantungan kepada sistem kewangan Barat.

“Kalau tidak diusahakan, sampai bila dunia Islam nak terus dibuli oleh sistem ciptaan Amerika?” soal beliau. – HARAKAHDAILY 16/10/2025

- Advertisement -