
HAMAS adalah sebuah pertubuhan politik yang ditubuhkan oleh rakyat Palestin untuk memperjuangkan negara Palestin yang merdeka. Sebelum HAMAS ditubuhkan pada tahun 1987, pelopor-pelopor penubuhan HAMAS seperti Shaykh Ahmad Yasin dan Dr Abdul Aziz al-Rantisi adalah penggerak pertubuhan kebajikan al-Mujamma al-Islami, yang melaksanakan agenda kebajikan di dalam lapangan pendidikan, kesihatan, kemasyarakatan dan perekonomian. Oleh sebab itu, bila HAMAS ditubuhkan, pertubuhan ini sangat dekat dengan hati rakyat Palestin.
Tokoh-tokoh yang menubuhkan HAMAS sendiri adalah tokoh-tokoh yang bergelumang dengan keperitan hidup rakyat Palestin. Shaykh Ahmad Yasin dan Dr Abdul Aziz al-Rantisi sendiri hidup di penempatan pelarian di Gaza, apabila keluarga mereka dihalau oleh Rejim Zionis ketika Tragedi Nakbah tahun 1948. Kedua-dua mereka menyaksikan sendiri di depan mata kekejaman rejim itu, peristiwa pembunuhan beramai-ramai Khan Yunis pada 3 November 1956. Benarlah, tokoh-tokoh seperti ini lebih mengetahui apa yang terbaik untuk negara dan rakyat Palestin.
Dari segi pegangan mazhab, HAMAS jelas sekali berpegang kepada pegangan Sunni. Pendiri HAMAS, Shaykh Ahmad Yasin, adalah seorang yang berpegang kepada pegangan Asha’irah dan beramal dengan al-Shafi`iyah khususnya daripada jaluran Imam al-Nawawi. Pemimpin-pemimpin HAMAS seperti al-Syahid Ismail Haniyah menyertai majlis-majlis yang biasa dilakukan oleh aliran Sufi Sunni seperti Majlis Zikir dan Qasidah Maulidurrasul. Disebabkan Gaza adalah tanah tumpah darah Imam Shafi`i, pengaruh aliran al-Shafi`iyah sememangnya kuat di sini, sekali gus pengaruhi HAMAS.
Di dalam konteks pemikiran siyasah dan dakwah semasa, HAMAS dipengaruhi oleh pemikiran aliran al-Ikhwan al-Muslimun. Salah satu dasar perjuangan al-Ikhwan ialah ‘Tahrir al-Watan’ atau berjuang untuk membebaskan tanah air. Dengan kerana itu, HAMAS berjuang untuk membebaskan wilayah Palestin daripada penjajahan rejim Zionis. Perjuangan HAMAS untuk membebaskan tanah air berhadapan dengan serangan ketenteraan rejim Zionis, justeru pertembungan yang mereka hadapi tidak sama dengan konteks gerakan-gerakan Islam yang lain termasuklah al-Ikhwan sendiri.
Ketika HAMAS ditubuhkan pada tahun 1987, PAS adalah pihak terawal memberi sokongan kepada HAMAS di Malaysia. Pada era 1980-an dan 1990-an, yang menyambung mesej perjuangan HAMAS di Malaysia ialah PAS, ketika ramai rakyat Malaysia lebih mengenal PLO dan tokohnya Yaser Arafat. Apabila HAMAS memenangi Pilihan Raya Umum memilih perwakilan ke Pihak Berkuasa Palestin (PA) pada tahun 2006, PAS melalui media rasminya seperti Harakah mengalu-alukan kemenangan tersebut. PAS juga menghantar perutusan rasmi mengucapkan tahniah kepada HAMAS.
Hubungan pemimpin PAS dan pemimpin HAMAS juga sangat rapat. Hubungan tersebut bukan setakat hubungan antara pemimpin-pemimpin utama, tetapi juga antara penggerak-penggerak akar umbi yang menjadi proksi PAS dalam melaksanakan misi kebajikan di bumi Palestin. Hampir setiap kali Muktamar PAS, pemimpin-pemimpin HAMAS atau wakilnya akan dijemput sebagai tetamu kehormat. Demikianlah rapatnya hubungan antara PAS dan HAMAS yang berkongsi cita-cita perjuangan yang sama, walaupun PAS bukanlah berasal daripada al-Ikhwan al-Muslimun seperti HAMAS.
Pengaruh HAMAS mula melebar ke Malaysia, apabila pemimpin Umno yang ketika itu menjadi tunjang pemerintahan Malaysia mula bersikap terbuka kepada HAMAS. Di zaman Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak sebagai Perdana Menteri, pemimpin HAMAS seperti Khalid Mish’al dan Ismail Haniyeh telah bertamu sebagai jemputan daripada Perdana Menteri. Malah, Dato’ Sri Najib sendiri pernah melawat ke Gaza dan disambut kehadiran beliau di sempadan Gaza oleh Ismail Haniyeh. Peristiwa bersejarah ini berlaku semasa Dr Mohamed Morsi menjadi Presiden Mesir.
Ketika Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri sekali lagi pada tahun 2018 sehingga 2020, beliau juga menjadi penyokong kuat HAMAS. Pada tahun 2019, pemimpin tertinggi HAMAS, Khalid Mish’al, telah melakukan kunjungan ke Pejabat Perdana Menteri. Kemudian setahun kemudian pada awal tahun 2020, Ismail Haniyeh pula hadir berkunjung ke Pejabat Perdana Menteri. Yang terbaru selepas berlakunya serangan Taufan al-Aqsa pada tahun 2023, Tun Dr Mahathir menzahirkan sokongan seratus peratus kepada perjuangan HAMAS.
Hari ini di bawah kepimpinan Perdana Menteri kesepuluh, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, beliau juga mempunyai hubungan yang baik dengan HAMAS. Tiga bulan sebelum Ismail Haniyeh syahid, Dato’ Seri Anwar telah mengadakan pertemuan dengan beliau di Qatar. Turut hadir dalam pertemuan tersebut ialah Khalid Mish’al. Dalam pertemuan itu, Dato’ Seri Anwar mengulangi komitmen Malaysia menjalin hubungan politik dan diplomatik dengan HAMAS. Dato’ Seri Anwar sendiri sewaktu memimpin ABIM mempunyai hubungan rapat dengan pimpinan al-Ikhwan al-Muslimun.
Menyedari hakikat tersebut, pengiktirafan terhadap HAMAS di Malaysia yang mewakili perjuangan rakyat Palestin telah diterima oleh pelbagai pihak, daripada pihak kerajaan sendiri, badan-badan bukan kerajaan dan rakyat Malaysia majoritinya. Bagaimanapun, terdapat tiga golongan yang dilihat tidak bersama dengan sokongan majoriti rakyat Malaysia ini. Mereka adalah ejen-ejen Mossad yang sudah berjaya menembusi negara ini, golongan yang memperjuangkan Kristian Evangelis dan juga mereka yang mendukung pendirian pemimpin-pemimpin Arab seperti Abd al-Fatah al-Sisi.
Kebencian ejen-ejen Mossad di Malaysia ini terhadap HAMAS sememangnya dimaklumi. Golongan ini tidak ramai kerana pihak keselamatan di Malaysia dari semasa ke semasa berjaya mengekang penyelinapan mereka. Beberapa tahun kebelakangan inipun, beberapa siri tangkapan telah berjaya dilakukan oleh PDRM terhadap individu dan kumpulan yang dipercayai berkaitan dengan Mossad. Ejen-ejen ini menyasarkan rakyat Palestin bermastautin di Malaysia, yang dipercayai ada hubungan dengan HAMAS, sebagai sasaran pembunuhan dan penculikan.
Golongan Kristian Evangelis pula membenci HAMAS kerana dilihat sebagai penghalang agenda mereka. Kristian Evangelis di Malaysia sepertimana pegangan golongan Evangelis sedunia, meyakini konflik Palestin dan Israel sekarang adalah telah tersurat dalam ajaran Gospel. Mereka meyakini, ia adalah rentetan peristiwa di ambang turunnya Jesus untuk membina pemerintahan di akhir zaman yang berpusat di Jerusalem. Golongan ini semakin membesar di Malaysia, dan suara-suara kebencian terhadap perjuangan Palestin sudah boleh dilihat di media-media sosial.
Golongan ketiga yang sekarang mula dapat dilihat sebagai pembenci HAMAS, ialah golongan yang mendukung pendirian politik pemimpin-pemimpin Arab menormalisasikan hubungan dengan Israel. Sebenarnya beberapa pihak di negara ini yang mendukung pendirian pemimpin-pemimpin UAE, Mesir, Jordan dan lain-lain, tetapi yang agak ketara mutakhir ini adalah segelintir pelajar yang kembali daripada Mesir. Secara khusus mereka berpihak kepada pendirian Abd al-Fatah al-Sisi, termasuklah sikap Presiden Mesir tersebut kepada HAMAS dan al-Ikhwan al-Muslimun.
DR MOHD ZUHDI MARSUKI
Centre for Civilisational Politics – HARAKAHDAILY 16/10/2025











