Episod hitam pendidikan: Panggilan muhasabah Nasional

- Advertisement -

Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) melalui Lajnah Pendidikan merakamkan rasa dukacita yang amat mendalam rentetan siri tragedi menyayat hati yang berlaku di premis sekolah dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini.

- Advertisement -

Rentetan kejadian yang menimpa anak-anak kecil dan remaja kita melibatkan kes bunuh, rogol, cabul, dan kematian akibat kecuaian keselamatan amat mengejutkan dan menyentap nurani setiap insan yang masih memiliki hati dan iman.  Kejadian-kejadian tragis ini bukan sekadar statistik berita hitam, tetapi cermin luka besar terhadap sistem pendidikan negara yang semakin kehilangan nilai keinsanan, keilmuan dan kemanusiaan.

Ucapan takziah dan seruan kesedaran

DMPM menzahirkan ucapan takziah yang tulus kepada ibu bapa dan keluarga mangsa dan suspek. Kami berdoa agar mereka diberi kekuatan jiwa untuk menerima ujian berat ini dengan penuh sabar dan reda, kerana setiap musibah adalah takdir Ilahi yang menguji keteguhan iman dan keikhlasan hamba dalam menempuh kehidupan.

Namun, implikasi tragedi ini juga harus dipikul bersama  bagi membangkitkan kesedaran kolektif dalam diri seluruh masyarakat, agar kita lebih prihatin terhadap keselamatan, maruah dan kebajikan anak-anak di sekolah, khususnya mereka yang masih di usia remaja dan mudah terdedah kepada pengaruh negatif serta gangguan emosi.

Kembali kepada fitrah bertuhan

Sudah tiba masanya pendidikan negara dikembalikan kepada nilai kemanusiaan dan  fitrah bertuhan, sebagaimana panduan al-Qur’an dalam Surah al-Baqarah ayat 30–31.  Hanya dengan pendidikan bertuhan dalam seluruh kurikulum dapat melahirkan manusia yang mampu memimpin (khalifah) dan memaknusiakan insan dengan ilmu yang sarat nilai, bukan sekadar mengejar pencapaian akademik atau kemahiran teknikal semata-mata.

Hanya dengan kembali kepada asas ini,  generasi pelajar yang berakhlak, berempati, dan berjiwa besar menghadapi cabaran zaman dapat dibangunkan.

Seruan tajdid (pembaharuan) holistik

Lajnah Pendidikan DMPM menegaskan bahawa pembaharuan dalam sistem pendidikan negara mesti dilakukan secara holistik, bukan sekadar tampalan dasar bersifat jangka pendek. Pendekatan ini hendaklah menggabungkan gandingan keinsafan dan kerjasama erat antara: pihak keluarga sebagai benteng pertama pembentukan jiwa anak-anak, PIBG (guru, ibu bapa dan pentadbir sekolah) dalam memperkukuh ekosistem pendidikan yang selamat dan beretika, serta komuniti setempat termasuk masjid dan pusat ibadah agama sebagai penyokong moral dan sosial kepada generasi muda.

Sekiranya dari sekarang tiada langkah serius dan sistematik diambil, kita bimbang dunia pendidikan negara ini akan berhadapan dengan krisis kepercayaan yang akhirnya membawa kepada kehancuran generasi masa depan negara.

Sokongan kepada para guru sebagai murabbi

DMPM juga menyeru agar diberikan sokongan menyeluruh kepada golongan guru dalam melaksanakan tugas hakiki mereka sebagai pendidik murabbi, bukan sekadar pengajar silibus atau dibebankan dengan tugas bukan hakiki yang melampau. Mereka adalah penerus misi kenabian, sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:
“Dialah yang mengutuskan kepada kaum yang ummi seorang Rasul dari kalangan mereka sendiri, membacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya, menyucikan mereka dan mengajarkan kepada mereka al-Kitab dan al-Hikmah.” (Surah al-Jumu‘ah: 2)

Maka para guru perlu didukung dengan dasar pendidikan berteraskan iman dan adab, diberikan latihan pembangunan rohani dan emosi, serta dilindungi daripada beban birokrasi yang menghalang fungsi tarbiah sebenar. Guru yang dididik dengan roh ta‘lim dan tazkiyah inilah yang mampu menyalakan kembali cahaya ilmu dan akhlak dalam diri pelajar.

Desakan kepada kementerian terbabit

Tragedi malang dalam premis pendidikan dan melibatkan kanak-kanak dan remaja menuntut reaksi segera dan tuntas daripada pelbagai pihak khususnya Kementerian Pendidikan Malaysia, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, serta Kementerian Komunikasi dan Multimedia. Satu dasar dan pelan tindakan menyeluruh perlu digubal bagi menyelamatkan generasi muda daripada terus  menjadi mangsa keadaan yang tidak diingini.

Keluarga, sekolah dan masyarakat juga perlu kembali memperkukuh pendidikan akhlak dan kawalan rohani sebagai benteng utama terhadap gejala ini. Pendidikan agama bukan sekadar mata pelajaran, tetapi mesti menjadi teras pembinaan peribadi dan nilai kehidupan anak-anak sejak usia kecil.

Akhir sekali, DMPM mendesak agar Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) segera memperketat tapisan dan sekatan akses terhadap kandungan media digital yang berunsur keganasan, pornografi, seks bebas dan hedonisme melampau. Kandungan seperti ini terbukti merosakkan akhlak remaja, menormalisasi jenayah, dan melemahkan daya tahan moral pelajar terhadap nafsu dan tekanan sosial.

Dalam masa yang sama, Kementerian Pendidikan Malaysia diminta menghentikan segala aktiviti  melibatkan para pelajar sekolah yang berunsur hedonisme yang menggalakkan percampuran bebas dan salah laku seksual.

Tanggungjawab ini bukan hanya terletak di bahu ibu bapa atau guru, tetapi juga di bawah amanah kerajaan untuk memastikan ruang digital dan sosial negara bersih, beretika dan selamat untuk anak-anak kita.

Saya juga menyeru semua pihak agar menghayati perintah Allah SWT dalam firman-Nya yang bermaksud
“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah dirimu dan  keluarga serta  ahli dalam jagaanmu daripada api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu…” (Surah al-Tahrim, ayat 6)

“Kembalikan pendidikan kepada fitrah insan dan Rabb yang mendidik.”

“Islam Berdaulat Wanita Bermartabat”
“Kembali Kepada Penyelesaian Islam”

DR USTAZAH WAHIBAH TWAHIR
Pengerusi Lajnah Pendidikan
Dewan Muslimat PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 15/10/2025

- Advertisement -