Tragedi kematian doktor: PN desak isu buli diselesaikan tuntas

Isu kematian Dr Pakar Patologi, Dr. Tay Tien Yaa yang bertugas di Hospital Lahad Datu, Sabah memerlukan siasatan terperinci dan pembelaan sewajarnya.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kesihatan Ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) merakamkan ucapan takziah terhadap pemergian Pakar Patologi, Dr. Tay Tien Yaa yang bertugas di Hospital Lahad Datu, Sabah.

Pengerusinya, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, belum reda isu buli di hospital di Sabah pada minggu lepas, negara dikejutkan pula dengan isu kematian Tien Yaa pula.  

- Advertisement -

Pada tahun lalu, negara telah dilaporkan dengan dua kes kematian pada bulan Jun 2023 dan salah seorang daripada mangsa dilaporkan sedang hamil serta menghadapi tekanan mental yang dikatakan telah menjadi penyumbang utama terhadap kejadian tragis tersebut.

Laporan hasil kajian Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) telah mendedahkan sebanyak 30 peratus sehingga 40 peratus pengamal perubatan melaporkan pernah mengalami beberapa bentuk buli berdasarkan tinjauan kaji selidik melibatkan 728 responden dalam kalangan pengamal perubatan sektor awam dan swasta pada tahun 2023. 

Hasil kajian yang serupa juga telah diperoleh melalui kajian Doctors only Bulletin Board System pada tahun 2018 yang malah menyatakan 17 peratus responden mempunyai fikiran untuk membunuh diri akibat dibuli di tempat bertugas.

Ahmad Yunus Hairi

Setelah insiden kematian seorang pegawai perubatan siswazah di Pulau Pinang pada April 2022, kerajaan telah menubuhkan Pasukan Petugas Khas Bagi Penambahbaikan Budaya Kerja Perkhidmatan Kesihatan (HWCITF).

Pasukan Petugas Khas itu telah mengeluarkan laporan yang telah dikritik oleh Gerakan Tunku Abdul Rahman yang telah menggesa kajian semula diadakan atas sebab responden kajian itu diambil secara terlalu meluas tetapi tidak memfokuskan kepada pegawai perubatan.

Yunus berkata, menteri bersilih ganti dan kajian demi kajian telah dijalankan, namun begitu, negara masih belum dapat menyelesaikan permasalahan itu secara komprehensif dan menyeluruh. 

“Jawatankuasa Kesihatan Ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional percaya punca utama adalah kerana kegagalan kerajaan dalam menyelesaikan isu dasar sistem kesihatan negara yang telah berada paras kritikal. 

“Adakah isu buli tidak pernah selesai kerana kita tidak mahu mengambil tindakan tegas kepada pelaku-pelaku yang durjana ini? 

Kajian Doctors only Bulletin Board System pada 2018 mendapati 17 peratus responden mempunyai fikiran untuk membunuh diri akibat dibuli di tempat bertugas.

“Talian myhelp yang telah diwujudkan merupakan satu inisiatif yang baik, namun ianya masih tidak dapat membantu dalam menangani isu buli pengamal perubatan. 

“Inisiatif yang dibuat ini juga tidak mengambil kira kekangan dan cabaran yang dihadapi petugas di lapangan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahli Parlimen Kuala Langat itu berkata, Jawatankuasa Kesihatan Ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional juga mencadangkan sebuah jawatankuasa bebas diwujudkan.

Jawatankuasa bebas itu menurutnya adalah untuk mengkaji semula laporan Pasukan Petugas Khas Bagi Penambahbaikan Budaya Kerja Perkhidmatan Kesihatan (HWCITF) dan cara pelaporan, siasatan dan tindakan terhadap kes-kes buli dilakukan oleh satu badan bebas, bukannya diserahkan kepada pentadbiran sesebuah fasiliti Kesihatan yang terlibat.

Menurutnya, Jawatankuasa Kesihatan Ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional menggesa agar laporan kes-kes buli ini dapat dibentangkan kepada jawatankuasa pilihan khas kesihatan parlimen dan melibatkan pemegang taruh agar permasalahan ini dapat ditangani secara tuntas dan berkesan.

“Petugas-petugas kesihatan adalah aset kritikal negara yang perlu dijaga. Kita sering meminta mereka untuk memberikan yang terbaik untuk pesakit dan sudah tiba masa untuk kita memberikan yang terbaik untuk mereka.

“Satu siasatan yang terperinci mesti dijalankan oleh pihak berkuasa bagi membela kematian mendiang Dr. Tay Tien Yaa dan menolak buli sebagai satu punca yang berkemungkinan menjadi sebab kejadian ini berlaku. 

“Adalah sesuatu yang mendukacitakan isu buli masih lagi membelenggu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada tahun 2024 ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/9/2024

- Advertisement -