Saifuddin: Siapa sebenarnya salah guna kuasa cetus kebencian politik?

Mohd Harun Esa
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Terengganu (DPPNT) meluahkan rasa kecewa terhadap sikap Menteri Dalam Negeri (MDN), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berhubung salah guna kuasa sehingga mencetuskan kebencian dalam politik.

Ketua Pemuda DPPNT, Mohd Harun Esa, berkata tindakan politik propaganda yang cuba dimainkan oleh Saifuddin Nasution merupakan satu sikap yang tidak profesional dalam mentadbir kerajaan.

- Advertisement -

“Sepatutnya ulasan berkaitan politik cukup sekadar melalui saluran parti politik tanpa menggunakan kementerian, akan tetapi mungkin kerana ingin dilihat hebat oleh partinya, MDN telah menyalahgunakan kementerian bagi membuat ulasan.

“Adakah MDN tersebut ingin mengatakan ‘ikut suka akulah, ini kementerian aku punya’ seperti mana ‘ini kerajaan kami, ikut suka kami lah’ dalam mentadbir kerajaan hari ini.

“Cukup sekadar menggunakan kepala surat Pakatan Harapan (PH) bagi memberi ulasan berkaitan politik, apakah rasional beliau sanggup menggunakan kementerian?” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.

Mohd Harun yang juga Exco Dewan Pemuda PAS juga mempersoalkan tindakannya adakah disebabkan PH  tidak mengiktiraf Saifuddin sebagai Ketua Setiausaha PH; dan adakah PH sudah diharamkan di Malaysia sehingga tiada kepala surat PH?

“Sebagai seorang Menteri yang bertanggungjawab menjaga ketenteraman awam, sepatutnya beliau sedar bahawa tindakan membuta tuli dalam mentafsir kenyataan Presiden PAS adalah satu tindakan yang cuba mencetuskan keharmonian negara. 

“Jika benar Presiden PAS telah melanggar undang-undang dengan mengkritik kerajaan yang dikatakan menjaga hak untuk rakyat bebas bersuara selama ini dijulang benar.

“Maka, sebenarnya tindakan MDN sendiri tidak menghormati hak bersuara rakyatnya,” katanya.

Justeru, DPPNT menyeru rakyat Malaysia agar dapat menolak politik propaganda yang dibawa oleh kerajaan hari ini. 

Terdahulu, Saifuddin dilaporkan media tempatan mengkritik Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (TGHH) susulan ucapan dalam Muktamar Tahunaan PAS Kali Ke-70. 

Saifuddin mendakwa bahawa PAS kini semakin terlibat dalam politik kebencian dengan beberapa ucapan pemimpinnya yang mengandungi cercaan dan fitnah. – HARAKAHDAILY 18/9/2024

- Advertisement -