
TELUK INTAN: Ketua Pemuda PAS Kawasan Teluk Intan, Nurhafizul Badrul Hisham mengkritik Menteri Dalam Negeri, Senator Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail kerana mengeluarkan kenyataan media bersifat politik menggunakan kepala surat rasmi kementerian dan jata rasmi negara.
Menurut Nurhafizul, tindakan Saifuddin ini memperlihatkan ketidakprofesionalan Saifudin serta keinginan untuk meraih perhatian politik ketika kariernya semakin pudar di persada politik negara.
“Saifuddin perlu ingat bahawa dia bukanlah sesiapa dalam politik Malaysia. Kemenangan beliau di Machang dan Kulim Bandar Baharu suatu ketika dahulu adalah ihsan daripada sokongan orang PAS.
“Namun beliau telah gagal mempertahankan sokongan tersebut,” ujar Nurhafizul turut mengulas kekalahan Saifudin dalam PRU lalu di mana beliau tewas dengan majoriti 13,061 undi di Kulim Bandar Baharu.
Malah katanya, Saifuddin juga gagal mengetuai jentera PH-BN dalam Pilihan Raya Negeri Kedah, yang menyaksikan gabungan itu kalah teruk 33-3 kepada jentera pimpinan Dato’ Seri Muhammad Sanusi Mohd Nor.
Lebih pedas, Nurhafizul turut menempelak kedudukan Saifuddin dalam parti, mendakwa beliau telah ditolak oleh ahli partinya sendiri setelah tewas dalam pemilihan jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR).
“Kamu kalah pemilihan Timbalan Presiden, walaupun dikatakan calon pilihan Presiden dan lebih memalukan lagi, kamu kalah kepada calon yang paling tidak disukai oleh rakyat,” tambah Nurhafizul.
Menurutnya lagi, tindakan agresif Saifuddin menyerang Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang, baru-baru ini dianggap sebagai usaha untuk membuktikan bahawa beliau masih relevan dalam politik Malaysia.
Namun, Nurhafizul berpendapat bahawa Saifuddin hanyalah ‘cicak mengkarung yang lapar perhatian’. – HARAKAHDAILY 18/9/2024











