
GRIK: Ketua Penerangan Pemuda PAS Negeri Perak, Amin Roslan menyuarakan kebimbangan mengenai tindakan Pemuda Umno Perak yang menyifatkan usaha untuk menuntut pendedahan skandal Movie Animation Park Studio (MAPS) sebagai satu sandiwara.
Menurut beliau, sikap Pemuda Umno ini mencetuskan persoalan sama ada terdapat sesuatu yang cuba disembunyikan oleh kerajaan negeri.
“RM607 juta bukanlah sandiwara, penutupan dan perobohan MAPS juga bukan sandiwara, tetapi realiti yang berlaku, di mana sejumlah wang rakyat Perak sebanyak RM607 juta telah lesap.
“Sehingga kini, rakyat masih tidak mendapat penjelasan yang tuntas,” tegas Amin turut mengaitkan skandal MAPS sebagai ‘mini 1MDB di Perak’.
Kerana menurutnya, kos asal projek MAPS yang berjumlah RM390 juta telah melonjak kepada RM607 juta, dengan pembayaran dibuat kepada kontraktor utama yang berdaftar di Singapura.
Lebih mencurigakan bidas Amin, syarikat kontraktor itu telah ditutup, dan sahamnya dipindahkan ke syarikat lain yang berpangkalan di British Virgin Islands.
Amin Roslan turut mempersoalkan jumlah pengunjung yang diperlukan untuk MAPS memperoleh keuntungan.
Menurut laporan awal, taman tema itu memerlukan seramai 1.4 juta pengunjung setahun untuk menjadi untung, namun beliau mempersoalkan sama ada angka tersebut realistik atau sekadar alasan bagi menutup kegagalan projek berkenaan.
Beliau mendesak Pemuda Umno Perak, khususnya Menteri Besar yang juga dari Umno, untuk tampil bertanggungjawab mendedahkan butiran lengkap skandal tersebut kepada rakyat.
“Tindakan ini penting bagi mengelak timbulnya lebih banyak keraguan dalam kalangan rakyat mengenai mengapa isu MAPS ini seolah-olah cuba disembunyikan oleh pihak kerajaan negeri.
“Jika kerajaan negeri terus berdiam diri dan Pemuda Umno Perak mempertahankan tindakan tersebut, rakyat Perak akan semakin curiga terhadap agenda sebenar di sebalik skandal ini,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 18/9/2024











