
JOHOR BAHRU: Perjanjian persefahaman (MoU) antara Kerajaan Persekutuan dengan pihak Ahli-ahli Parlimen pembangkang adalah sesuatu yang bercanggah dengan agenda reformasi institusi yang dilaungkan kerajaan selama ini.
Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, sekiranya benar kerajaan komited melakukan reformasi institusi, sewajarnya penumpuan diberikan kepada usaha menggubal undang-undang memberi peruntukan automatik kepada pembangkang.
“Reformasi yang dikehendaki di Parlimen ialah Kerajaan membawa satu Rang Undang-Undang Peruntukan kawasan parlimen, bahawa setiap kawasan Parlimen di seluruh negara diberi hak secara automatik tanpa syarat, tanpa perlu menandatangani sebarang perjanjian atau MoU.
“Setiap Ahli Parlimen sama ada di blok kerajaan, di blok pembangkang atau di blok bebas dijanjikan oleh undang-undang untuk mendapat peruntukan kawasan parlimen masing-masing sama banyak dan sama adil,” katanya.
Menurutnya, undang-undang seperti itulah yang mesti diinstitusikan mulai sekarang oleh Kerajaan Madani dan bukannya MoU seperti yang dihebohkan kini.
Kata Hassan, kewujudan perjanjian persefahaman (MoU) antara Kerajaan Persekutuan di satu pihak dengan pihak Ahli-ahli Parlimen pembangkang di satu pihak lagi adalah bercanggah dengan amalan demokrasi berparlimen kerana perjanjian itu melanggar prinsip pengasingan kuasa yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Di bawah Perkara 59 Perlembagaan Persekutuan setiap anggota Parlimen tanpa kecuali dikehendaki mengangkat sumpah.
“Kandungan sumpah itu antara lainnya ialah setiap anggota Parlimen itu bersumpah untuk memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan Malaysia,” katanya.
Tambah beliau, satu ciri penting Perlembagaan Persekutuan ialah mengamalkan prinsip pengasingan kuasa yang bertujuan untuk memelihara tiga badan utama negara iaitu Parlimen (Legislative), Kerajaan (Executive) dan Mahkamah (Judiciary).
Tambahnya, ketiga-tiga cabang itu masing-masing bebas menjalankan peranan dan tanggungjawab mereka seperti yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan.
“Tetapi MoU tersebut telah mengikat peranan dan fungsi ahli-ahli parlimen pembangkang di Parlimen.
“Ahli-ahli Parlimen sama ada di pihak kerajaan atau di pihak pembangkang atau di pihak bebas apabila mereka telah menandatangani dokumen angkat sumpah mereka di hadapan Yang Dipertua atau Speaker maka mereka terikat dengan sumpah tersebut,” katanya.
Tambah beliau, dokumen angkat sumpah yang ditandatangani oleh semua Ahli Parlimen itu menjadikan MoU antara kerajaan dan pihak pembangkang tidak diperlukan sama sekali.
“Sifat mengikat MoU itu akan memandulkan dan membonsaikan peranan Ahli-ahli Parlimen pembangkang dan gabungan parti pembangkang di Parlimen.
“Mereka hilang kebebasan untuk berperanan sebagai satu kuasa efektif untuk melakukan semak dan imbang terhadap kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuatnaik di laman Facebook rasmi beliau semalam.
Kata beliau lagi, Ahli-ahli Parlimen pembangkang dan gabungan pembangkang yang merupakan kerajaan bayangan atau ‘shadow government’ terpaksa tutup mulut dalam perkara-perkara penting melibatkan hal rakyat dan negara.
“Kenapa? Kerana mereka telah menandatangani MoU dengan kerajaan iaitu Badan Eksekutif.
“Jadi, MoU yang dikemukakan oleh pihak Kerajaan bersifat membelenggu kebebasan ahli-ahli parlimen pembangkang dan gabungan pembangkang,” katanya.
Beliau menjelaskan lagi, cadangan memperkenalkan MoU tersebut pada asasnya adalah satu contoh pencerobohan kuasa Eksekutif iaitu kerajaan yang berkuasa terhadap kebebasan Ahli-ahli Parlimen pembangkang yang merupakan pihak yang penting di dalam Parlimen.
“Cadangan mengenakan syarat menandatangani MoU tersebut juga boleh dianggap pihak Eksekutif iaitu Kerajaan Persekutuan cuba melanggar prinsip pengasingan kuasa kerana dengan sengaja cuba melemahkan blok pembangkang di Dewan Parlimen,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/9/2024




















