
KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang membabitkan tujuh negeri sehingga 3 petang ini.
MetMalaysia dalam kenyataannya berkata, antara kawasan yang terlibat iaitu Wilayah Persekutuan (WP) Kuala Lumpur, WP Putrajaya dan WP Labuan.
“Selain itu, kawasan di Selangor (Sabak Bernam, Kuala Selangor, Klang, Petaling, Kuala Langat, Hulu Langat dan Sepang); dan Negeri Sembilan (Jelebu, Seremban, Port Dickson, Kuala Pilah dan Rembau).
“Sementara itu, kawasan Sarawak di Miri (Miri dan Marudi); dan Sabah di Pedalaman (Kuala Penyu dan Beaufort),” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.
MetMalaysia turut memaklumkan amaran dikeluarkan sekiranya terdapat tanda-tanda ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 millimeter sejam yang berlaku selama hampir atau melebihi satu jam.
Menurutnya, amaran ribut petir merupakan peringatan jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.
“Orang ramai boleh melayari laman sesawang MetMalaysia untuk mengetahui tahap cuaca terkini di Malaysia,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/9/2024




















