
TAMBUN: Dewan Pemuda PAS Perak mendesak agar satu Suruhanjaya Siasatan DiRaja ditubuhkan untuk melakukan sisatan forensik secara menyeluruh berkenaan skandal Taman Tema Movie Amination Park Studio (MAPS).
Ketua Pemuda PAS Perak, Ustaz Mohd Hafez Sabri menegaskan, ia berikutan pusat hiburan rekreasi keluarga tersebut menanggung kerugian sejumlah RM607 juta wang rakyat negeri Perak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi berkata, siasatan amat perlu bagi mengesan ke mana mengalirnya setiap sen daripada RM607 juta wang rakyat yang telah dilaburkan untuk projek ini.
“Sehingga kini, kerajaan negeri belum mendedahkan lagi mengapa MAPS ditutup malah notis penutupan juga dikeluarkan segera iaitu sehari sebelum kejadian iaitu 28 Januari 2020.
“Rakyat berhak tahu siapakah individu disebalik kegagalan besar dan memalukan ini?” soalnya dalam satu kenyataan di sini.
Kata beliau lagi, wang rakyat hangus begitu sahaja sedang RM607 juta bukanlah sandiwara kerana jumlah tersebut adalah separuh daripada purata jumlah bajet untuk negeri Perak setiap tahun.
Malahan lebih memalukan katanya, apabila dimaklumkan MAPS tidak mampu membayar tunggakan bil elektrik ketika ia ditutup.
“Adakah perkara itu berlaku disebabkan tidak ada kewibawaan mengurus serta perancangan pemasaran berkesan atau mungkin wujudnya unsur salah laku,” soalnya.
Dalam pada itu, Hafez juga mendesak agar rakyat dimaklumkan kepada siapa MAPS diserahkan dan pihak mana yang mengaut keuntungan RM607 juta tersebut.
Pihak kerajaan negeri juga katanya, perlu menjelas adakah benar ia diserahkan kepada syarikat kontraktor yang didaftarkan di Singapura yang dilaporkan sudah ditutup dan kemudiannya dipindahkan pula ke sebuah syarikat ditubuhkan di British Virgin Islands.
“Oleh itu kita mengharapkan apabila Suruhanjaya Siasatan DiRaja ditubuhkan nanti, perkara dapat disiasat secara menyeluruh, agar ketahui rakyat,” tambahnya lagi.
Terdahulu, isu MAPS ini telah mendapat perhatian Pesuruhjaya PAS Perak yang juga ADUN Semanggol, Razman Zakaria.
Malah jawapan Menteri Besar, Dato’ Seri Saarani Mohamad, kononnya isu MAPS tiada kaitan dengan kerajaan negeri kerana ia adalah di bawah PCB Development Sdn Bhd (PCBD) yang telah digulung (muflis) amat mengecewakan. – HARAKAHDAILY 18/9/2024











