Tangani krisis akhlak dengan pendekatan Islami – PUM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Persatuan Ulama Malaysia (PUM) memandang serius laporan kes pelajar terlibat dalam jenayah rogol dan lebih membimbangkan apabila kejadian tersebut dirakam dan disebarkan melalui media sosial.

- Advertisement -

Yang Dipertuanya, Dato’ Wan Mohamad Dato’ Sheikh Abd Aziz berkata, insiden ini bukan sahaja mencemar maruah mangsa, malah mencerminkan krisis akhlak ypsemakin meruncing dalam kalangan generasi muda negara.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sehubungan itu kata beliau, diseru untuk segera menangani isu ini melalui pendekatan menyeluruh dan bersepadu.

Wan Mohamad turut mencadangkan agar Menteri Pendidikan menubuhkan Jawatankuasa Khas yang dianggotai pelbagai pihak termasuk tokoh agama, ahli akademik, pakar psikologi serta pertubuhan masyarakat.

“(Ini) Bagi merangka strategi jangka pendek dan panjang untuk membendung krisis moral ini,” ujarnya turut menegaskan, pembentukan sahsiah pelajar tidak boleh dipisahkan daripada asas agama dan nilai Islam.

Menurut beliau lagi, pendidikan moral dan pendidikan seks perlu berteraskan kefahaman dosa dan pahala, tanggungjawab terhadap Allah SWT serta nilai maruah dan kehormatan diri.

“Ibu bapa dan penjaga diseru agar memainkan peranan lebih aktif dalam mendidik anak-anak mengenai batas pergaulan, adab serta tanggungjawab moral kerana pendidikan keluarga merupakan asas utama pembentukan akhlak mulia,” ujarnya.

Tambah beliau, isu ini bukan sekadar masalah disiplin pelajar, tetapi merupakan krisis nilai dan akhlak yang memerlukan penyelesaian menyeluruh dengan menolak budaya pergaulan bebas di sekolah dan komuniti.

Wan Mohamad menyatakan kesediaan mereka untuk bekerjasama dengan KPM serta agensi berkaitan dalam membina modul pendidikan Islami yang dapat memperkukuh nilai moral, akhlak dan spiritual pelajar.

Terdahulu, media telah melaporkan kes yang mencetuskan perhatian ramai melibatkan pelajar sekolah menengah dikatakan merogol pelajar lain dan merakam perbuatan itu sebelum menyebarkannya di aplikasi WhatsApp.

Pihak polis telah menahan beberapa suspek remaja berusia antara 15 hingga 17 tahun dan siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan. – HARAKAHDAILY 15/10/2025

- Advertisement -