
SUDAH dua tahun bumi Gaza bergelut dengan penderitaan yang tiada berkesudahan. Sejak 7 Oktober 2023, rejim Zionis melancarkan pembersihan etnik secara sistematik, sementara kuasa-kuasa besar Barat terutamanya Amerika Syarikat yang mendakwa membela hak asasi manusia, terus bersikap seolah-olah buta akan kekejaman yang berlaku.
Seperti jutaan manusia lain di seluruh dunia, aktivis di Malaysia turut memainkan peranan dalam gelombang protes solidariti global. Namun, selepas kian lama kelesuan mulai menyelubungi. ‘Apa lagi gunanya kami turun ke jalan raya?’ persoalan ini mulai bermain di fikiran ramai. Adakah segala usaha ini sia-sia andai kesengsaraan rakyat Palestin masih berterusan? Adakah laungan kita hanya bergema di ruang kosong?
Persoalan ini menuntut jawapan yang jelas. Walaupun keadaan kelihatan suram, putus asa dan membisu bukan pilihan. Ya, demonstrasi tetap mustahak. Ya, tekanan awam masih diperlukan. Dalam dunia diplomasi, rundingan sering kali dijadikan alasan untuk berkompromi dengan kezaliman. Justeru, suara rakyat yang lantang diperlukan untuk mengembalikan ketegasan prinsip di meja runding.
Komitmen bukan sekadar simbolik
Sokongan moral dan politik terhadap Palestin yang kita saksikan hari ini bukanlah sesuatu yang muncul secara tiba-tiba. Ia adalah hasil aktivisme solidariti rakyat yang tidak pernah mengenal erti letih. Tanpa kekuatan rakyat, diplomasi seumpama wayang didalangi kuasa-kuasa ghaib dalam percaturan mengekalkan status quo. Rundingan demi rundingan hanya akan terikat dengan protokol melayan kepentingan geopolitik, keuntungan elit dan agenda peribadi.
Oleh itu, demonstrasi jalanan perlu terus digerakkan. Semangat melawan memerlukan komitmen berterusan. Protes awam bukan sekadar luahan kemarahan, tetapi merupakan instrumen politik yang strategik. Tindakan yang berdasarkan tenaga moral sahaja memiliki daya tahan dan lebih berani mencabar kaedah diplomatik yang jumud.
Harapan dari jalanan
Gelombang solidariti global sejak dua tahun kebelakangan ini merupakan fenomena luar biasa. Dari London ke Kuala Lumpur, New York ke Sydney, dari benua Asia ke Amerika Latina, jutaan manusia bangkit menentang kezaliman. Pergerakan global ini merupakan denyut nadi kemanusiaan yang memberi amaran kepada pihak berkuasa bahawa rakyat sedunia enggan tunduk kepada penindasan.
Sejarah membuktikan tenaga rakyat mampu mengubah haluan politik antarabangsa. Kini kita menyaksikan dengan mata sendiri bagaimana kebangkitan aktivisme solidariti global mencapai kejayaannya. Banyak negara terpaksa melakukan perubahan 180 darjah dalam dasar luar mereka. Beberapa negara Eropah yang dulu berhubungan erat dengan Israel mula mengiktiraf Negara Palestin, manakala yang lain semakin berani mengkritik rejim Zionis secara terbuka. Di Amerika Syarikat juga, kebangkitan rakyat menekan pentadbiran Trump, walaupun mungkin tidak ikhlas, untuk sekurang-kurangnya mempertimbangkan jalan penyelesaian konflik.
Kekuatan untuk perundingan
Kekuatan dalam perundingan bukan hanya datang dari kuasa ekonomi atau ketenteraan, tetapi dari legitimasi rakyat yang berdiri di belakang tuntutan tersebut.
Demonstrasi tidak menggantikan saluran diplomasi, sebaliknya mengukuhkan pendirian dan memastikan pihak berkuasa tidak tersasar dari kehendak rakyat. Tanpa sokongan rakyat, wakil perunding hadir dengan tangan kosong. Sebaliknya, apabila rakyat bergerak secara besar-besaran, ia memberikan mandat yang kukuh dan leverage dalam perundingan.
Tanpa tekanan dari jalanan, rundingan antarabangsa sering berakhir dengan kenyataan retorik kosong. Dengan kekuatan rakyat, pintu perubahan mula terbuka. Sejarah membuktikan tiada perjuangan besar yang dimenangi semata-mata melalui meja runding, semuanya bermula dari kuasa rakyat.
ASEAN dan Trump
Sepanjang sejarahnya, ASEAN telah membangunkan mekanisme tersendiri untuk menangani krisis serantau secara kolektif melalui pendekatan ‘constructive engagement’ yang bergantung sepenuhnya pada konsultasi dan konsensus. Sejujurnya ia hanya menghasilkan kadar sukses yang agak terhad, dan kadangkala menyebabkan kekecewaan dan kebuntuan. Walaupun tidak selalu berkesan, pendekatan ini berjaya mengukuhkan hubungan baik dan kesatuan negara-negara Asia Tenggara.
Kerajaan Malaysia mungkin mempunyai pertimbangan tersendiri apabila mengundang Presiden Trump ke persidangan kemuncak ASEAN. Lazimnya platform ASEAN dimanfaat untuk berhubung dengan pemimpin luar mempunyai justifikasi yang boleh diterima. Namun, kita perlu sedar bahawa kedatangan Donald Trump mengundang risiko tinggi dan berpotensi mengikis pendirian moral kerajaan.
Trump bukan figura politik biasa, beliau melambangkan punca kezaliman terhadap rakyat Palestin dan pelbagai permasalahan dunia mutakhir ini. Amerika Syarikat pimpinan Trump mengizinkan tentera Israel melaksanakan genosida di Gaza. Sebagai presiden, Trump memberi sokongan total kepada Netanyahu untuk meneruskan keganasan sewenang-wenangnya.
Dengan taktik intimidasi, Trump memaksa semua pihak menerima rangka perdamaian yang sempit dan merugikan rakyat Palestin. Hakikatnya, ‘20 Points’ yang dicadangkan Trump bukan jalan menuju kedaulatan, tetapi helah untuk mengesahkan penjajahan haram Israel.
Dalam konteks ini, kebangkitan rakyat untuk membantah adalah suatu kewajipan. Pergerakan solidariti bertanggungjawab memperjuangkan keadilan di luar gelanggang yang ditetapkan penindas. Tindakan protes bukan luahan emosi semata-mata, tetapi penegasan prinsip.
Landskap geopolitik antarabangsa bukan hanya ditentukan oleh pemimpin-pemimpin. Penindasan terhadap rakyat Palestin terbina dalam rangkaian kompleks sistem global yang didominasi Amerika Syarikat. Rakyat yang menentang ketidakadilan tidak boleh bergantung semata-mata pada rundingan diplomatik. Di samping menghormati usaha kerajaan menggunakan saluran dua-hala dan peraturan diplomasi, tekanan dari masyarakat sivil perlu juga ditingkatkan.
Demonstrasi yang dijadualkan pada 26 Oktober pagi menegaskan mesej jelas, rakyat Malaysia menolak normalisasi kezaliman dan menuntut kerajaan menterjemahkan pendirian ini dalam tindakan diplomatik yang konkrit.
Strategi dua hala: Dari jalanan ke meja runding
Dalam naratif konvensional, bantahan jalanan dianggap ‘radikal’ manakala diplomasi dianggap ‘rasional’. Namun dalam realiti, kedua-duanya saling melengkapi. Satu membangkitkan kesedaran dunia; satu lagi menterjemahkannya menjadi dasar dan tindakan.
Protes tanpa strategi politik mungkin kehilangan arah. Diplomasi tanpa suara rakyat pasti kehilangan jiwa. Kedua-duanya perlu bergerak seiring di jalanan dan di meja runding. Tiada tekanan awam, rundingan menjadi kaku; tiada diplomasi, bantahan tidak mempunyai saluran untuk menjadi perubahan konkrit.
Kesimpulan: Suara rakyat menggerakkan diplomasi
Perjuangan Palestin mengajar kita bahawa perubahan tidak datang dari atas ke bawah, ia lahir dari bawah, dari rakyat yang enggan berdiam diri.
Kita tidak boleh hanya mengharapkan para diplomat dan penguasa dunia. Kita perlu terus mendesak, terus bersuara, terus membentuk arus perubahan!
Kepada rakan-rakan aktivis: teruskan turun ke jalan dengan keberanian dan sifat optimis.
Akhirnya, diplomasi yang benar bukan sekadar seni berunding, tetapi keberanian mendengar suara rakyat.
TIAN CHUA
Aktivis kemanusiaan – HARAKAHDAILY 15/10/2025
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS











